Rosak teruk masyarakat kita, hilang terus sifat manusia

INSIDEN orang kurang upaya (OKU) dipukul dalam kejadian di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai membuktikan ada segelintir masyarakat kita sudah semakin teruk.
Sudah hilang pertimbangan, tiada langsung rasa empati. Bertindak tanpa guna akal dan fikiran. Kalau bahasa kasarnya, tak ada otak!
Lebih menyedihkan tak ada seorang pun yang cuba halang. Tidak ada yang membantu, umpama menonton satu persembahan.
Sudahlah dipukul, diheret pula. Ada pula yang mengambil video untuk ditularkan di media sosial. Ini perangai apa sebenarnya?
Bagi Merak Jalanan, orang buat salah bukan lesen untuk kita pukul beramai-ramai. Kita ada agama, kita ada undang-undang. Kita orang Malaysia yang terkenal dengan adab dan budaya.
Insiden di Terengganu itu bukan pertama kali. Sebelum ini kita turut dikejutkan dengan insiden seorang pemandu Grab dipukul juruiring orang kenamaan.
Bulan lepas, ada orang kurang siuman masuk masjid pun diberi layanan yang tidak sepatutnya. Lelaki tersebut dipukul oleh jemaah kerana meracau.
Insiden pukul OKU perlu diambil perhatian kerana bimbang memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Masyarakat mesti dididik untuk memahami bahawa semua bentuk keganasan terutama terhadap golongan rentan seperti OKU tidak boleh diterima.
Merak Jalanan malu. Mungkin betul kata PM, ini zaman edan. Zaman masyarakat sudah mula hilang nilai ihsan. Perangai seperti ini tidak boleh dibiarkan.
Semua pihak perlu bertindak, baik kerajaan, pihak berkuasa, mahupun masyarakat. Kita marah Zionis tapi kita ikut perangai mereka.
ALLAH bekalkan kita akal dan fikiran, jadi gunakanlah dengan sebaliknya. Ini kerana akal dan fikiran itulah yang membezakan kita dengan haiwan.
Merak Jalanan harap insiden memalukan seperti ini tidak berlaku lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!