Reman suspek kelima pukul OKU mental disambung

KEMAMAN - Tempoh reman suspek kelima yang ditahan bagi membantu siasatan kes pukul orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini pada Jumaat lalu disambung dua hari lagi.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin berkuat kuasa Khamis hingga Jumaat.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan membabitkan kes pukul lelaki OKU kategori ketidakupayaan mental.
Suspek sebelum ini direman tiga hari selepas ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 11.30 malam pada Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, sehingga kini enam suspek dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tani tersebut.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di atas jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi berkenaan dipercayai bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!