FAMA Terengganu nafi peniaga mereka terlibat kes pukul OKU

KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menafikan kejadian pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) Jumaat lalu berlaku di pasar di bawah seliaan agensi tersebut.
Pengarahnya, Muhamad Fadlee Hassan berkata, kejadian berkenaan berlaku di tapak Pasar Pagi Jalan Padang Astaka Chukai di bawah seliaan Persatuan Penjaja Kemaman.
"Selain itu, suspek yang memukul lelaki OKU tersebut tidak terlibat sebagai peniaga di bawah pasar tani FAMA. Jadi kita harap masyarakat Kemaman tidak salah faham mengenai kejadian tersebut hingga menjejaskan usahawan dan peniaga-peniaga di bawah seliaan FAMA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Tani Padang Hiliran di sini pada Khamis.
"Kita harap rakyat kemaman bagi sokongan pada peniaga-peniaga kita di pasar tani dan jadikan Pasar Tani Chukai sebagai pilihan utama pelanggan," ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Fadlee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kekerasan dan akan bertindak tegas terhadap peniaga sekiranya terlibat dalam aktiviti kekerasan dan memukul mana-mana individu.
"Malah di setiap pasar tani di bawah seliaan FAMA, kita ada ahli jawatankuasa dari segi keselamatan yang memantau serta menjaga keselamatan orang awam dan peniaga," katanya sambil menambah terdapat sekitar 1,500 usahawan di bawah bimbingan FAMA di Terengganu.
Muhamad Fadlee berkata, waktu operasi Pasar Tani Chukai Fama dan Pasar Pagi Jalan Padang Astaka adalah sama iaitu pada setiap hari Jumaat bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
Katanya, lokasi Pasar Tani Chukai Fama adalah di tapak parkir belakang Masjid Sultan Ahmad manakala lokasi Pasar Pagi Jalan Padang Astaka adalah di sepanjang Jalan Padang Astaka Chukai, Kemaman.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tani tersebut.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di atas jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Polis kemudiannya telah menahan reman suspek terlibat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!