OKU mangsa belasah di pasar tani dihadiahkan pakej umrah oleh Andalusia

SIMPATI dengan kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul beberapa individu di Pasar Tani, Padang Astaka, Chukai pada Jumaat lalu, syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menghadiahkan pakej umrah kepada mangsa.
Pakej umrah itu diberikan secara percuma kepada mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, isterinya, Faridah Abdul Karim, 44 dan anak lelaki mereka, Ahmad Fakhrie, 19.
Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin menghadiahkan pakej umrah tersebut melalui panggilan video kepada Faridah pada Isnin.

Wakil Andalusia Kuantan yang berkunjung ke rumah Faridah pada hari sama turut menyerahkan kelengkapan untuk menunaikan umrah.
Dalam video berdurasi 1 minit 11 saat yang dimuat naik di Facebook Andalusia Kuantan itu, Ibrahim meluahkan rasa simpati terhadap mangsa sekali gus menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan pakej umrah kepada mereka bertiga.
Beliau turut mendoakan mereka terubat hatinya ketika berada di Makkah selepas kejadian yang menimpa mangsa dan keluarganya itu.
Faridah dilihat terharu sebelum mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim dan mendoakan agar ALLAH SWT membalas jasa baiknya.
Susulan kejadian itu, Ahmad Nor Al Faizan yang menghidap bipolar disorder itu dirawat di Hospital Kemaman sebelum dibawa ke klinik pakar psikiatri Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin untuk rawatan lanjut.
Sinar Harian pada Jumaat lalu, melaporkan seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tani tersebut.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan itu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh lalu bertaburan di atas jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Sehingga kini, enam suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

