Hidupkan Ramadan dengan ibadah berkualiti

JAIS ajak umat Islam untuk bertadarus, membaca al-Quran dan bertadabbur ayat-ayat suci sempena bulan puasa ini

HIDUPKAN malam-malam Ramadan dengan solat tarawih di samping ibadah-ibadah lain. Foto Canva
HIDUPKAN malam-malam Ramadan dengan solat tarawih di samping ibadah-ibadah lain. Foto Canva
A
A
A

RAMADAN al-Mubarak bertamu kembali dan umat Islam hendaklah memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana masih diberi peluang serta dipanjang usia hingga bertemu bulan ini.

Tidak semua hamba ALLAH diberi peluang untuk merasai bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini.

Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup rapat manakala rahmat ALLAH SWT dicurahkan kepada para hamba-NYA yang mencari keampunan dan keredaan.

“Amatlah rugi dan malang bagi seseorang yang dipertemukan dengan bulan Ramadan, namun dia tidak mengalami sebarang perubahan pada sikap dan akhlak dirinya walaupun sedikit,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang dibaca di seluruh negeri Selangor Jumaat minggu lalu.

Khutbah Jumaat bertajuk Menghidupkan Ramadan dengan ibadah yang berkualiti itu disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut JAIS, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang masuk dalam bulan Ramadan, namun dia tidak memperoleh keampunan daripada ALLAH SWT atas kelalaian dirinya sendiri.

PERBANYAKKAN berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan pelbagai ibadah lain pada bulan Ramadan. Foto Canva
PERBANYAKKAN berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan pelbagai ibadah lain pada bulan Ramadan. Foto Canva

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan kepada seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadan, kemudian Ramadan berlalu sebelum dia diampunkan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Artikel Berkaitan:

Banyakkan interaksi bersama al-Quran

JAIS turut mengingatkan jemaah agar menghidupkan Ramadan dengan memperbanyakkan tadarus, membaca al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran bersempena dengan bulan yang penuh keberkatan ini.

“Bacalah mengikut kemampuan, dengan kadar yang sesuai dan konsisten mengikut keadaan masing-masing,” kata khatib sambil membacakan ayat ke-20 surah al-Muzzammil: “Oleh itu, bacalah mana-mana yang mudah (bagimu) daripada al-Quran (dalam solat).”

Ujarnya, Rasulullah SAW turut memberikan dorongan agar umat Islam memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran khususnya dalam ibadah malam berdasarkan sepotong hadis, Baginda bersabda:

“Sesiapa yang bangun (beribadah malam) dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak akan dicatat sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang bangun dengan membaca seratus ayat, dia akan dicatat sebagai orang yang taat (qanitin). Dan sesiapa yang bangun dengan membaca seribu ayat, dia akan dicatat sebagai orang yang memperoleh ganjaran yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kaitan puasa dan al-Quran

Menurut JAIS, Nabi SAW malah turut menjelaskan keistimewaan hubungan antara puasa dan al-Quran. Kedua-duanya bukan sekadar ibadah yang dilaksanakan di dunia, bahkan menjadi pembela dan pemberi syafaat di akhirat kelak berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat kelak. Puasa berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku telah menahannya daripada (menikmati) makanan dan nafsu syahwat di siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.’ Dan al-Quran pula berkata: ‘Aku pula telah menahannya daripada tidur di malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.’ Baginda melanjutkan sabdanya: ‘Maka kedua-duanya pun diizinkan memberi syafaat kepadanya’.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Khatib kemudiannya menyambung, Rasulullah SAW turut menganjurkan kepada kita agar menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah qiyam khususnya melalui pelaksanaan solat sunat tarawih.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berqiyam dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda serta pahala daripada ALLAH), maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

BANYAKKAN bertadarus, membaca al-Quran dan bertadabbur dalam mengejar ganjaran besar pada Ramadan. Foto Canva
BANYAKKAN bertadarus, membaca al-Quran dan bertadabbur dalam mengejar ganjaran besar pada Ramadan. Foto Canva

Pesan khatib lagi, semoga Ramadan kali ini mampu mendidik kita untuk memahami bahawa setiap detik ketaatan itu bernilai, setiap kesabaran itu berpahala dan setiap pengorbanan itu diperhatikan ALLAH SWT.

“Bahkan keletihan yang ditanggung dalam melaksanakan tanggungjawab dengan niat yang ikhlas juga menjadi sebab untuk kita tidak ketinggalan dalam mengejar fadilat Ramadan,” ujarnya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib menasihatkan jemaah agar mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:

1 – Umat Islam hendaklah meraikan bulan Ramadan yang mulia dengan azam untuk memperbaiki diri menjadi lebih sempurna serta meninggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat.

AMALAN bertadarus merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Foto Canva
AMALAN bertadarus merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Foto Canva

2 – Umat Islam hendaklah memelihara ibadah puasa mereka agar tidak sia-sia di samping mempertingkatkan penghayatan terhadap al-Quran dengan bertadarus, mentadabbur dan mengamalkan setiap pengajaran yang terkandung di dalamnya.

3 – Umat Islam hendaklah merebut peluang menghidupkan bulan Ramadan ini dengan ibadah dan amalan soleh bagi meraih reda, rahmat dan keampunan ALLAH SWT serta mencapai kualiti takwa yang sebenar.

Ringkasan AI

  • RAMADAN al-Mubarak merupakan peluang untuk umat Islam memanjatkan syukur kepada ALLAH SWT
  • Tidak semua hamba ALLAH mendapat kesempatan merasai bulan penuh kemuliaan dan keberkatan
  • Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat selama Ramadan, rahmat ALLAH SWT dicurahkan
  • Amat rugi bagi seseorang yang tidak mengalami perubahan sikap dan akhlak dirinya pada bulan Ramadan
  • Umat Islam diingatkan untuk memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran dan menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah serta qiyam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!