Nafas baharu bermula Ramadan

JHEAIPP sarankan umat Islam hentikan terus tabiat merokok, vape mulai bulan puasa ini

BERAZAMLAH untuk berhenti merokok dan menghisap vape bermula bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
BERAZAMLAH untuk berhenti merokok dan menghisap vape bermula bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
A
A
A

MENGHAMPIRI Ramadan, segelintir umat Islam ada yang resah dan gelisah memandangkan mereka perlu berpuasa di siang hari dan itu bermakna bagi mereka yang merokok, perbuatan itu juga perlu dihentikan pada siang hari ketika berpuasa.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka sering berazam dengan kedatangan bulan Ramadan ini, mereka dapat berhenti daripada merokok dan menghisap vape, bukan sahaja pada siang hari, bahkan pada waktu malam dan jika boleh selama-lamanya.

Iktibar Mimbar Jumaat kali ini mengupas khutbah berkaitan perkara ini bertajuk Nafas baharu Ramadan: Selamatkan kehidupan yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan dibacakan khatib Jumaat lalu.

HIDUPLAH lebih sihat selepas berhenti merokok dan menghisap vape. Foto Canva
HIDUPLAH lebih sihat selepas berhenti merokok dan menghisap vape. Foto Canva

Memulakan khutbah, khatib menjelaskan bahawa kesihatan paru-paru merupakan nikmat asas kehidupan dan setiap hela nafas yang disebut membolehkan kita berdiri untuk solat, membaca al-Quran dan beribadat kepada ALLAH SWT.

“Namun hari ini, nikmat ini sedang diancam oleh satu tabiat yang dianggap biasa tetapi sebenarnya sangat merosakkan iaitu merokok dan penggunaan vape,” katanya.

Beliau kemudiannya membacakan ayat ke-195 surah al-Baqarah: “Dan berbelanjalah (harta benda kamu) di jalan ALLAH (untuk menegakkan agama ALLAH) dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat baik.”

Membinasakan diri perlahan-lahan

Artikel Berkaitan:

Menurut JHEAIPP, merokok dan menghisap vape merupakan antara perbuatan yang secara perlahan-lahan mencampakkan diri ke arah kebinasaan, walaupun kesannya tidak serta-merta dirasai.

“Rokok bukan sekadar tembakau yang dibakar. Ia mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dan puluhan daripadanya bersifat racun serta boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik antaranya serangan jantung, strok, kanser mulut dan tekak,” hurainya.

JHEAIPP menjelaskan, antara bahan utama yang terdapat dalam rokok, antaranya:

1 - Nikotin iaitu bahan yang menyebabkan ketagihan, meningkatkan tekanan darah dan memaksa jantung bekerja lebih kuat.

SIBUKKAN diri ibadah pada malam hari agar keinginan untuk merokok dan menghidap vape hilang dalam diri. Foto Canva
SIBUKKAN diri ibadah pada malam hari agar keinginan untuk merokok dan menghidap vape hilang dalam diri. Foto Canva

2 - Tar yang merupakan bahan melekit yang mendap di dalam paru-paru dan merosakkan saluran pernafasan.

3 - Karbon monoksida iaitu sejenis gas beracun yang menggantikan oksigen dalam darah.

Katanya, bahan-bahan ini disedut masuk ke dalam paru-paru, diserap ke dalam darah dan seterusnya merosakkan seluruh sistem tubuh badan.

“Rokok dan vape jelas tergolong dalam perkara yang buruk dan memudaratkan, maka ia wajar dijauhi oleh orang beriman.

“Lebih menyedihkan, asap rokok bukan sahaja membunuh perokok, tetapi juga memudaratkan orang sekeliling, termasuk anak kecil dan ahli keluarga melalui asap rokok pasif,” jelasnya.

Abu Said Al-Qudri RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang berbahaya dan menimbulkan bahaya bagi orang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jelas JHEAIPP, hadis ini menjadi asas jelas bahawa perbuatan memudaratkan diri sendiri dan orang lain adalah dilarang dalam Islam.

Sambungnya, Islam merupakan agama yang memelihara kesejahteraan manusia melalui prinsip Maqasid Syariah yang menuntut agar agama, nyawa, akal, harta dan keturunan dipelihara.

“Justeru, amalan merokok dan menghisap vape yang merosakkan kesihatan, membazirkan harta dan menjejaskan masa depan generasi muda adalah bertentangan dengan tujuan syariah,” ujarnya.

Selain itu katanya, rokok dan vape juga merupakan produk yang memberi sumbangan besar kepada zionis.

“Bayangkan apabila kita membelanjakan harta untuk membeli rokok dan vape, ia bermakna kita bersubahat dalam pembunuhan dan pembantaian umat Islam di Gaza walaupun ia berlaku secara tidak langsung.

“Di mana solidariti yang kita laung-laungkan kononnya kita menyokong Gaza dan Palestin?” soal khatib.

Haram kerana mudarat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa amalan merokok adalah haram dan penggunaan rokok elektronik serta vape juga adalah haram kerana kemudaratannya yang jelas, ujar khatib.

BERDOA dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan perbuatan haram merokok dan menghisap vape. Foto Canva
BERDOA dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan perbuatan haram merokok dan menghisap vape. Foto Canva

“Dalam usaha melindungi kesihatan awam, kerajaan telah melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebagai langkah pencegahan dan perlindungan, khususnya kepada anak-anak dan generasi muda.

“Usaha ini bukan bertujuan menghukum, tetapi untuk menyelamatkan nyawa dan masa depan umat,” katanya.

Bagaimana Ramadan boleh membantu kita berhenti merokok? Dalam menjawab soalan ini, khtaib menjelaskan, Ramadan ialah bulan tarbiah dan pengendalian diri.

“Jika seseorang mampu menahan diri daripada merokok sepanjang siang hari Ramadan, maka itu bukti bahawa ketagihan boleh dikawal," katanya.

Antara langkah yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadan kelak adalah seperti berikut:

1 – Niat berhenti kerana ALLAH.

2 – Jangan kembali merokok selepas berbuka.

3 – Isi masa dengan solat, zikir dan membaca al-Quran.

4 – Dapatkan sokongan keluarga.

5 – Mohon bantuan melalui klinik berhenti merokok di klinik kesihatan berdekatan.

Pesan khatib, setiap usaha meninggalkan rokok dan vape demi menjaga kesihatan adalah amal soleh yang besar nilainya di sisi ALLAH.

“Sesungguhnya Ramadan yang bakal menjelang adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan.

“Inilah yang dimaksudkan dengan nafas baharu Ramadan yakni nafas yang bersih tanpa rokok, nafas yang sihat untuk sujud kepada ALLAH dan nafas yang membawa keberkatan kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Ramadan dijadikan peluang oleh sebahagian umat Islam untuk berhenti merokok dan menghisap vape
  • Kesihatan paru-paru ditekankan sebagai nikmat asas kehidupan yang terancam oleh tabiat merokok dan penggunaan vape
  • Merokok dan penggunaan vape mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit kronik
  • Hadis dan prinsip Maqasid Syariah menegaskan larangan merosakkan diri sendiri dan orang lain, bertentangan dengan amalan merokok dan vape
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan amalan merokok dan penggunaan vape adalah haram kerana kemudaratannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!