Insiden pukul OKU: JKM beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa

Faridah Abdul Karim, 44, isteri kepada OKU, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh menceritakan mengenai kejadian yang menimpa suaminya semasa ditemui di Kuala Ibai. Foto Bernama
Faridah Abdul Karim, 44, isteri kepada OKU, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh menceritakan mengenai kejadian yang menimpa suaminya semasa ditemui di Kuala Ibai. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada keluarga lelaki yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada Jumaat lepas.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, bantuan IKSP menerusi sesi kaunseling itu bertujuan membantu menstabilkan emosi keluarga yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Menurutnya, perkara itu sangat tidak berperikemanusiaan dan berada di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada Jumaat lepas.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada Jumaat lepas.

"JKM kesal dengan kejadian seorang individu orang kurang upaya (OKU) dipukul beramai-ramai pada 17 Januari 2025.

"Melalui semakan, penama merupakan pemegang kad OKU kategori mental yang telah mendapat kelulusan kad OKU pada 19 Mac 2023.

"JKM menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan akan terus memberikan sokongan kepada keluarganya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah bertindak memukul mangsa.

Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.

JKM berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas yang telah diambil serta berharap siasatan dapat diselesaikan segera dan pesalah dikenakan hukuman.

"JKM juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti menzahirkan rasa simpati kepada OKU yang teraniaya ini.

"Sifat ihsan sebegini harus ditanam dalam diri setiap individu supaya tiada yang akan melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan kepada sesiapapun di masa hadapan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!