Puasa didik jadi pemurah, berkasih sayang

Menjadikan umat suka memberi yang menatijahkan rasa kasih sayang sesama insan dan golongan memerlukan

SEBAHAGIAN daripada tetamu yang diraikan dalam majlis tersebut.
SEBAHAGIAN daripada tetamu yang diraikan dalam majlis tersebut.
A
A
A

PUASA bukan sekadar untuk umat Islam menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi ia merupakan madrasah tarbiah jiwa yang mendidik manusia mengenal empati dan berkasih sayang sesama insan.

Pegawai Khas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud menjelaskan, ternyata ibadah yang diwajibkan dalam Rukun Islam itu mempunyai makna yang besar kepada orang yang berpuasa.

“Kebiasaannya kita merasai perasaan lapar ketika berpuasa. Namun di luar sana, terdapat golongan fakir dan miskin yang setiap hari kelaparan.

“Dengan berpuasa ini, ALLAH SWT mengajar kita untuk memahami perasaan laparnya golongan fakir dan miskin setiap hari,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Nur Kasih Ramadan anjuran Mardhiyyah Hotel & Suites dengan kerjasama Yayasan Abadi di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Ustaz Mohd Hariri, untuk lebih merasai perasaan orang yang sedang dalam kelaparan ini, perbanyakkan melihat golongan yang berada dalam kesusahan seperti gelandangan dan fakir serta miskin.

“Saya berpeluang untuk turun padang menyantuni golongan susah ini. Dalam satu program Jakim di ibu kota baru-baru ini, kami mengagihkan makanan kepada gelandangan.

USTAZ MOHD HARIRI
USTAZ MOHD HARIRI

“Begitu gembiranya mereka apabila mendapat makanan dan sangat berselera sekali memakannya walaupun makanan tersebut telah sejuk,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Rasai kesusahan, terbitkan suka memberi

Oleh sebab itu katanya, puasa mengajar umatnya merasai kelaparan orang-orang yang berada dalam kesusahan sekali gus menjadikan kita bersikap pemurah.

“Junjungan kita Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang sangat pemurah ketika masuknya bulan Ramadan dan Baginda sangat suka infak.

“Baginda berinfak diibaratkan bagai angin yang berlalu. Begitu juga dengan orang-orang Arab ini, mereka suka memberikan infak kerana mereka tahu infak akan menyebabkan rezekinya murah dan berkat.

“Di Malaysia juga tidak kurangnya. Kita boleh lihat di kampung-kampung apabila orang kampung ketika tibanya bulan Ramadan, mereka akan masak lebih dan memberikan masakan itu kepada jiran-jiran pula,” jelasnya.

Tambahnya, daripada rasa lapar itulah akan menerbitkan sikap pemurah dalam diri sekali gus menjadikan orang yang berpuasa itu suka berkasih sayang sesama manusia terutamanya kepada golongan yang berada dalam kesusahan.

Bagaimanapun ujarnya, menolong orang yang berada dalam kesusahan itu baik, namun kita juga perlu melihat ahli keluarga dan sanak-saudara sendiri.

“Ini kerana mereka mempunyai hubungan silaturahim dengan kita. Selain infak kepada golongan memerlukan di luar sana, utamakan juga mereka dalam ahli keluarga,” katanya.

2 kegembiraan orang berpuasa

Sambungnya, bagi orang berpuasa itu ada dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan kegembiraan di akhirat apabila mendapat ganjaran pahala yang berganda-ganda berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua, kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

MOHAMED RAFIK (kiri) membantu menyenduk lauk buat tetamu yang diraikan dalam Majlis Nur Kasih Ramadan.
MOHAMED RAFIK (kiri) membantu menyenduk lauk buat tetamu yang diraikan dalam Majlis Nur Kasih Ramadan.

Selain itu katanya, puasa turut mengajar umat Islam menjadi orang yang bertakwa kepada ALLAH SWT apabila mereka benar-benar mengikut peraturan berpuasa walaupun ketika tiada sesiapa melihatnya.

"Mereka tidak akan sesekali berbuka puasa selagi belum masuk waktu Maghrib dan hanya akan berbuka apabila azan dikumandangkan.

"Berhati-hatinya umat Islam apabila masuknya waktu berbuka, kita pasti akan double confirm sama ada melalui televisyen, radio atau azan dari masjid dan surau berdekatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris berkata, Majlis Nur Kasih Ramadan yang dianjurkan setiap tahun bertujuan membina ukhuwah sesama komuniti serta membantu golongan yang memerlukan.

SEBAHAGIAN daripada tetamu yang diraikan dalam majlis tersebut.
SEBAHAGIAN daripada tetamu yang diraikan dalam majlis tersebut.

“Majlis ini membuka peluang kepada kakitangan hotel untuk melibatkan diri dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam meraih keberkatan pada bulan suci ini.

“Pada tahun ini, kami menyantuni 300 tetamu termasuk anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang dan Pertubuhan Kebajikan Al Kausar Bangi serta golongan asnaf, wakil masjid dan surau,” katanya.

Tambahnya, kesemua mereka diraikan dengan hidangan berbuka puasa selain solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah.

“Mereka turut menerima sumbangan dana kebajikan selain duit raya kepada anak-anak yatim,” katanya.

Ringkasan AI

  • Puasa mendidik umat Islam mengenal empati dan kasih sayang sesama insan
  • Ustaz Mohd Hariri menjelaskan puasa mengajar untuk memahami perasaan lapar golongan fakir dan miskin
  • Puasa mengajak untuk merasai kesusahan orang lain dan menjadi pemurah
  • Orang berpuasa mendapat dua kegembiraan, ketika berbuka dan mendapat ganjaran di akhirat
  • Majlis Nur Kasih Ramadan anjuran Mardhiyyah Hotel & Suites bertujuan membina ukhuwah dan membantu golongan memerlukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!