Perdana Menteri harap insiden pukul OKU tidak berulang

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap insiden memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar tani di Kemaman pada Jumaat lalu tidak berulang lagi pada masa akan datang sekali gus menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Anwar berkata, kejadian sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana rakyat Malaysia terutama orang Melayu mempunyai tahap kesabaran tinggi dan berbudi bahasa.
"Tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita tetapi ia sudah berlaku. Jadi saya berharap bahawa kejadian ini tidak berulang lagi dan jadi pengajaran pada kita semua.
"Agak merisaukan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga sedangkan insiden ia tidak menggambarkan (sikap) sebenar masyarakat di Terengganu.
"Hanya segelintir yang kurang sabar dan mengambil tindakan sendiri," katanya.
Pesanan daripada Anwar tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin selepas melawat lelaki OKU mental tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Selasa.
Sebelum ini, tular video berdurasi 1 minit 52 saat falam media sosial itu memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada pagi Jumaat.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang merupakan OKU mental, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai yang menyebabkan makanan jualan di gerai berkenaan terjatuh.
Mengulas lanjut, Azman berkata, isu tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap Perdana Menteri kerana budaya sedemikian bukan menggambarkan keadaan sebenar masyarakat Melayu yang terkenal dengan budi bahasa.
"Orang Melayu ini orang yang sabar. Jadi apabila jadi kejadian seperti itu menunjukkan ada masalah pada masyarakat kita.
"Seharusnya kita harus lihat benda ini secara serius terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. Itu kekhuatiran daripada Perdana Menteri dan sudah semestinya sekarang ini polis sudah buat tangkapan dan isu itu dalam siasatan polis.
"Jadi biarlah polis lakukan kerja mereka dan kemudian kita tunggu apa hasil siasatan polis selepas ini," ujarnya.
Sementara itu, Azman berkata, lelaki OKU tersebut dilihat semakin sihat dan berkemungkinan dibenarkan keluar dari hospital pada esok.
"Alhamdulillah... dia nampak ceria, stabil dan sihat.
"Saya berharap dan doakan supaya isterinya, Faridah Abdul Karim serta lima anak mereka kekal tenang dan bersabar dengan ujian ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!