'Ini sahaja harta yang ada, tak mampu lihat ia hilang ditelan laut'

Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini runtuh dan alami kerosakan selepas dibadai ombak besar. Foto kanan: Ramlah menunjukkan keadaan sebahagian tanah telah runtuh akibat dibadai ombak besar.
Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini runtuh dan alami kerosakan selepas dibadai ombak besar. Foto kanan: Ramlah menunjukkan keadaan sebahagian tanah telah runtuh akibat dibadai ombak besar.
A
A
A

KUALA NERUS - "Tanah ini satu-satunya harta peninggalan keluarga yang ada, tak mampu lagi lihat ia hilang 'ditelan' laut."

Demikian luah seorang warga emas, Ramlah Muhammad, 68, yang menahan sebak apabila melihat tanah miliknya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini itu hanya menunggu masa untuk runtuh akibat dilanda ombak besar.

Ramlah berkata, tanah peninggalan keluarga seluas 0.4 hektar itu kini hanya tinggal sebanyak 20 peratus kerana sebahagian telah runtuh akibat dibadai ombak besar sejak bulan lalu.

"Di atas tanah ini juga saya ada usahakan tanaman pokok kelapa. Dahulu ada 68 batang pokok kelapa tetapi sekarang hanya tinggal hampir 20.

"Selebihnya (tanaman pokok kelapa) sudah hilang ditelan laut. Tak boleh selamatkan dan tak boleh buat apa-apa... Memang sedih dan saya hanya mampu berserah kepada ALLAH," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, tanah miliknya itu mempunyai nilai sentimental dan berharga buat dirinya.

"Titik peluh arwah mak dan ayah usahakan tanah itu sangat bermakna.

"Tanah yang ada itu kini menunggu masa hilang dan lenyap sekiranya tiada tindakan diambil. Harap pihak berwajib bantu atasi masalah ini segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan jalan yang runtuh dan angin kencang melanda.
Keadaan jalan yang runtuh dan angin kencang melanda.

Sementara itu, suami Ramlah, Abdul Ghani Ngah, 70, berkata, pihak berwajib perlu membantu mengatasi masalah hakisan pantai itu daripada semakin buruk.

"Saya harap sangat pihak kerajaan membina benteng batu sepanjang 70 meter untuk halang ombak dari terus membadai kawasan yang terlibat.

"Kalau tiada tindakan diambil, hakisan yang berlaku ini boleh sampai ke jalan dan menyebabkan berlakunya lebih banyak kerosakan," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Jalan Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini mendapati terdapat laluan di kawasan itu runtuh serta alami kerosakan selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 meter serta angin kencang yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Selain itu, terdapat struktur bangunan kedai dan rumah yang runtuh akibat hakisan dan dibadai ombak besar.

Tinjauan turut mendapati Jalan Pantai Kampung Tanjong, Batu Rakit di sini ditutup apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak.

Pada Ahad, media melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor memaklumkan dua jalan pantai iaitu di Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung, telah ditutup sepenuhnya kepada semua pengguna jalan raya bermula Sabtu.

Menurutnya, lokasi tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi terpaksa ditutup kerana rosak dan atas faktor keselamatan lain.

Jalan pantai Mengabang Telipot sepanjang 300 meter dan Jalan Kampung Tanjung sekitar 330 meter ditutup sebagai langkah berjaga-jaga berikutan fenomena angin kencang dan air pasang besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!