Ombak besar, bergulung-gulung seakan mahu 'telan' rumah dan penduduk

CHUKAI - Sebanyak 16 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Geliga Baru di sini tidak dapat tidur lena memikirkan keadaan rumah mereka yang dibadai ombak susulan fenomena air pasang besar dan angin kencang pada Sabtu malam.
Ibrahim Zakaria, 67, berkata, dia dan dua lagi ahli keluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Geliga Pantai di sini, pada Sabtu selepas beberapa keping dinding dan atap rumahnya tercabut diterbangkan angin kuat.
Warga emas itu berkata, ombak besar setinggi lebih dua meter itu juga menyebabkan kawasan di bahagian belakang dapur rumahnya terhakis teruk.

"Memang rumah saya sering terjejas akibat hakisan setiap kali ombak besar pada musim monsun, tetapi sepanjang 30 tahun tinggal di sini, ini kali pertama tengok ombak yang sangat besar... bergulung-gulung seakan-akan mahu menelan rumah dan penduduk," katanya ketika ditemui di PPS itu.
Ibrahim berkata, setakat ini dia masih menunggu ombak betul-betul reda dan selamat untuk pulang bagi memeriksa keadaan rumahnya.
"Rumah pak cik rumah kayu lama, setiap tahun kena ombak memang tunggu masa menyembah bumi. Sekarang ini pun kami terpaksa tinggal di balai raya di kampung lain kerana balai raya di kampung sendiri sudah tidak selamat diduduki," katanya.
Seorang lagi penduduk, Juliana Ariffin, 45, berkata, dia dan suaminya terpaksa berpindah ke PPS kira-kira 7.30 malam Sabtu atas faktor keselamatan selepas rumah mereka bergegar dipukul ombak.
Juliana berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga kerana bimbang keselamatan empat anaknya.
"Suami hanya mampu melaungkan azan dan takbir. Pagi tadi suami pulang sekejap untuk memeriksa keadaan rumah.
"Banyak pasir dan sampah yang berserak atas lantai. Sebelum ini di belakang rumah saya ada lima kediaman, tetapi semuanya dah runtuh akibat hakisan dan dipukul ombak. Saya dan suami runsing memikirkan mana nak tinggal jika rumah saya pun terima nasib yang sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan pantai susulan fenomena angin kencang yang melanda perairan Terengganu.
Beliau berkata, kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu ketika ini ialah sekitar 25 kilometer sejam (km/jam) berbanding hari biasa pada Monsun Timur Laut iaitu 10 hinga 20 km/jam.
"Malam tadi kelajuan angin direkodkan hingga 40km/jam. Situasi ini agak berisiko kepada sesiapa sahaja yang berada di kawasan pantai.
"Oleh itu saya minta supaya orang ramai menjauhi kawasan pantai kerana banyak risiko termasuk pokok tumbang dan struktur bangunan atau binaan runtuh," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!