Ombak besar, penduduk timbus parit elak rumah dimasuki air

Zulkifli menunjukkan inisiatif penduduk menutup sistem perparitan bagi mengelak rumah mereka dimasuki air ekoran fenomena air pasang besar yang melanda sejak malam Sabtu.
Zulkifli menunjukkan inisiatif penduduk menutup sistem perparitan bagi mengelak rumah mereka dimasuki air ekoran fenomena air pasang besar yang melanda sejak malam Sabtu.
A
A
A

BESUT - Penduduk Taman Sri Teluk dekat Kampung Teluk Bayu di sini mengambil inisiatif menutup sistem perparitan bagi mengelak rumah mereka dimasuki air ekoran fenomena air pasang besar yang melanda sejak malam Sabtu.

Zulkifli Deraman, 53, berkata, lebih 100 penduduk berdekatan kawasan itu terjejas disebabkan air laut melimpah sehingga masuk ke dalam rumah mereka.

"Penduduk di sini mengambil inisiatif menutup sebahagian saluran perparitan yang menghubungkan rumah dengan kawasan pantai menggunakan jentolak.

"Kita harap buat sementara waktu ini, langkah ini berkesan bagi membantu mengurangkan risiko limpahan air laut sehingga ke kawasan penempatan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Jelas Zulkifli, inisiatif itu turut dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh.

Menurutnya, sistem perparitan sementara itu dibina penduduk kampung sejak 2013 bagi melancarkan aliran air.

"Memandangkan saluran perumahan tersebut terlalu kecil dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak ketika hujan lebat, kita cuba ambil langkah baharu," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, jarak antara pantai dengan penempatan penduduk sebelum ini dianggarkan sejauh satu kilometer dan kini hanya berbaki kira-kira 300 meter disebabkan masalah hakisan.

"Semalam (Ahad) air pasang mencecah 2.1 meter sehingga menyebabkan kawasan perumahan ini dinaiki air hampir satu meter.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak sangka kali ini air pasang besar sehingga menaiki rumah penduduk. Walaupun semalam tiada hujan dan angin, kita bimbang ombak lebih tinggi malam ini kerana bacaannya mencecah 2.5 meter,"katanya.

Sementara itu, Yusmawani Yusof, 43, berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pembinaan benteng pemecah ombak termasuk di kawasan pantai bagi mengelakkan hakisan terus berleluasa.

"Kita khuatir jika langkah segera tidak diambil keadaan akan semakin buruk dan dalam masa sama penduduk terpaksa berdepan pelbagai risiko antaranya fenomena air pasang besar dan angin kencang.

"Jadi kita harap masalah ini mendapatkan perhatian pihak berwajib supaya ada penyelesaian diambil bagi menangani isu terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!