Geng pecah rumah, larikan jongkong emas usahawan ditahan

Allaudeen (dua kanan) menunjukkan rampasan dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, pada Khamis.
Allaudeen (dua kanan) menunjukkan rampasan dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki yang disyaki menjadi dalang utama pecah masuk rumah usahawan dan melarikan peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai RM3.5 juta di Padang Balang, di sini, pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, sepasukan anggota dari Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memberkas kesemua suspek berusia 22 hingga 36 tahun di Batu Pahat, Johor, pada 5 Mac.

"Pihak polis berjaya merampas barang kemas, jam tangan dan beg berjenama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, pada Khamis.

Allaudeen berkata, pihak D4 IPD Wangsa Maju telah mengambil tangkapan tersebut daripada IPK Selangor pada 16 Mac lalu.

"Kesemua suspek direman sembilan hari bermula 17 Mac sehingga 25 Mac ini," katanya.

Allaudeen berkata, hasil soal siasat dalang utama telah membawa pasukan Polis IPD Wangsa Maju dan dibantu oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia ke Sungai Sembrong di Batu Pahat pada 19 Mac lalu.

"Kita berjaya menemui semula peti besi milik mangsa, hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui empat jongkong emas bernilai RM1 juta di ruangan dalam peti besi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, selain jongkong emas, pihak polis juga dapat menemui semula beberapa barang milik mangsa yang dilaporkan hilang.

Artikel Berkaitan:

"Kita merampas 15 utas rantai emas, 14 utas gelang, dua bentuk cincin, tujuh beg berjenama, satu loket dan subang emas yang dilanggarkan bernilai RM2.1 juta," katanya.

Allaudeen berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dalang utama itu memiliki 20 rekod jenayah dan dadah.

"Modus operandi kumpulan itu menyasarkan kediaman usahawan atau pempengaruh media sosial," katanya.

Pada 4 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang wanita berusia 43 tahun.

Kejadian berlaku antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam itu, ketika tiada orang di rumah tersebut.

Kamera litar tertutup di kediaman itu dirosakkan oleh suspek, namun siasatan lanjut di tempat kejadian telah dibuat oleh pasukan forensik.

Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.