Ahli perniagaan rugi RM3.5 juta rumah dipecah masuk

Ashari
Ashari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan kerugian RM3.5 juta apabila rumahnya di Padang Balang, Sentul di sini, dipecah masuk pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang wanita berusia 43 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai anggaran lebih kurang RM3 juta telah dilarikan penjenayah.

"Penjenayah turut melarikan beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga, jumlah kerugian dianggarkan RM3.5 juta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ashari berkata, kejadian berlaku antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam itu, tiada orang di rumah tersebut.

"Kamera litar tertutup di kediaman itu dirosakkan oleh suspek, namun siasatan lanjut di tempat kejadian telah dibuat oleh pasukan forensik," ujarnya.

Beliau berkata, sehubungan dengan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kes masih di dalam siasatan pihak polis, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 serta tampil mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!