Bangsa Johor terus pertahan kalimah ALLAH

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor akan terus mempertahankan kesucian Islam dengan memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam isu kalimah ALLAH dikenakan tindakan tegas termasuk dibawa ke muka pengadilan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bagi tujuan itu segala aspek perundangan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 dan Perlembagaan Persekutuan serta enakmen akan dipastikan dapat dikuatkuasakan.

Menurut beliau, tindakan tegas dan hukuman yang adil perlu dikenakan kepada pihak mencemarkan kemuliaan nama ALLAH terutama pada bulan Ramadan.

"Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berhubung keprihatinan baginda terkait isu kalimah ALLAH.

"Saya mendukung penuh titah baginda, bahkan bertanggungjawab bagi terus mempertahankan kemuliaan Islam di Johor.

"Amat mendukacitakan apabila masih ada pihak yang tidak menghormati dan masih berani untuk menyentuh sensitiviti agama khususnya Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Mohd Fared turut memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana pihak khususnya di Johor agar jangan sesekali mempersenda kalimah ALLAH atau apa juga yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam.

"Saya menyeru seluruh Bangsa Johor beragama Islam agar terus bersatu padu dan bangkit mempertahankan kalimah ALLAH serta kesucian Islam secara 'total'," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan kejadian itu, pada Rabu lalu, KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'ALLAH' di cawangan kedai serbaneka itu.

Pada Selasa, polis dilaporkan merampas lima pasang stoking mempunyai kalimah ALLAH dipercayai dipulangkan oleh rangkaian kedai serbaneka ketika melakukan pemeriksaan menyeluruh di kilang tersebut di Batu Pahat.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kilang berkenaan dipercayai menjadi tempat bagi urusan pembungkusan dan pengedaran stoking berkenaan ke rangkaian kedai serbaneka beralamat di Cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.