Johor laksana pembenihan awan atasi masalah bekalan air di Pontian, Kluang

JOHOR BAHRU - Pembenihan awan di kawasan sekitar Empangan Machap, Upper Layang dan sekitarnya dijangka dilakukan pada Rabu, bagi mengatasi masalah bekalan air membabitkan daerah Kluang dan Pontian ketika ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah berkenaan diambil setelah merujuk pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Beliau berkata, langkah tersebut diharapkan dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air sebelum tiba musim perayaan Tahun Baharu Cina, pada minggu depan.
"Kita akan membuat pembenihan awan seawal Rabu ini di kawasan empangan Machap dan Upper Layang serta kawasan yang berkaitan.
"Kita akan cuba selelsaikan isu ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Johor 2026 di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, pada Isnin.
Pada Ahad, Ranhill SAJ dalam kenyataan berkata, gangguan bekalan air tidak terancang di beberapa kawasan di sekitar daerah Kluang dan Pontian.
Menurut kenyataan itu, ia susulan paras Empangan Machap yang membekalkan sumber air mentah kepada Sungai Ulu Benut kini menunjukkan penyusutan susulan musim kemarau yang berpanjangan.
Mohamad Fazli berkata, di Pontian dan Kluang, pengguna menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Pulai dan juga LRA Machap.
Katanya, baru-baru ini, LRA machap terjejas disebabkan bekalan air di Empangan Machap berkurangan dan pihaknya terpaksa membuat pengolahan daripada LRA Yong Peng melibatkan empat juta liter sehari (MLD).
"LRA Machap ini dapat sumber air daripada Sungai Benut namun kapasiti sungai itu sudah berkurangan. Selalunya, kita 'top up' daripada Empangan Machap tetapi bekalan air empangan itu pun sudah surut hingga bawah paras 'gate' air.
"Sebab itu, kita terpaksa membuat operasi menyedut air dari tengah-tengah empangan itu untuk kita keluarkan, kita sasar dalam 20 MLD dari Empangan Machap yang beroperasi di bawah paras 30 peratus," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mendapat bantuan daripada negeri lain dengan meminjamkan lori tangki air (tanker) bagi memudahkan pembekalan air bersih secara terus kepada pengguna.
Buat masa ini, katanya, sebanyak 46 tanker sedang bergerak khusus di kawasan Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat dan 15 tanker dari negeri lain bergerak ke kawasan Simpang Renggam dan Pontian.
"Kita berterima kasih kepada beberapa negeri yang sudi membantu kita antaranya Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Pahang yang meminjamkan tanker-tanker ini," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pembenihan awan akan dilakukan di kawasan Empangan Machap, Upper Layang untuk mengatasi masalah bekalan air di Kluang dan Pontian
- Langkah ini diambil selepas rujukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Meteorologi Malaysia
- Diharap dapat selesaikan gangguan bekalan air sebelum Tahun Baharu Cina
- Gangguan bekalan air di Kluang dan Pontian akibat penyusutan paras air Empangan Machap disebabkan musim kemarau
- Kerajaan negeri mendapat bantuan lori tangki air dari negeri lain untuk pembekalan air bersih
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

