Isu kalimah ALLAH: Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan boleh digunakan

Nik Saiful Adli (dua dari kanan) berbual bersama Zamri (tiga dari kiri) dan kakitangan Yadim pada Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia di Tunjong di Kota Bharu pada Khamis.
Nik Saiful Adli (dua dari kanan) berbual bersama Zamri (tiga dari kiri) dan kakitangan Yadim pada Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia di Tunjong di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Hasutan 1948 boleh digunakan dalam isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang mencetuskan ketegangan di negara ini.

Presiden Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkongsi perkara itu melalui rujukan Seksyen 2 bahagian tafsiran undang-undang yang menyebut perihal penerbitan termasuk bahagian B dan C dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkenaan.

Menurut beliau yang juga peguam bela dan peguam cara itu, bawah Subseksyen 4 (2) akta itu mengandungi Seksyen 298A Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan ketidakharmonian perpecahan atau perasaan benci, marah dan niat jahat.

“Selainnya, Akta Hasutan ada menyebut kesalahan yang boleh menimbulkan rasa marah dan gusar tentang agama.

Nik Saiful Adli
Nik Saiful Adli

“Cukup sekadar meletakkan perkara mulia tidak pada tempatnya, maka undang-undang boleh dikuatkuasakan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia di Tunjong di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin.

Nik Saiful Adli yang juga panel forum tersebut mengulas, jika sabit kesalahan di bawah mana-mana seksyen itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, tindakan undang-undang sangat perlu dalam menyelesaikan isu terbabit dan bukanlah untuk menghukum mereka sebaliknya bagi memberi kesedaran dan pengajaran kepada umum.

“Ini bukan isu kecil kerana boleh membuka ruang yang besar dan luas untuk agama Islam dipermainkan, kenapa agama yang menjadi teras kepada negara ini tidak dihormati dan tuhan kepada agama tersebut diletakkan di tempat yang hina, di kaki.

"Jadi tindakan undang-undang perlu diambil bukan untuk menghukum tetapi memberi kesedaran kepada semua supaya menghormati Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian pada 16 Mac lalu, pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menjelaskan bahawa penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka ituadalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis ada stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah ALLAH.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28