‘Opal rindu mama, lama dah tak peluk mama’ - Luah kanak-kanak tular peluk pusara ibu

Dalam video yang dikongsi bapanya, Opal dilihat memeluk dan berbaring lama di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu.
Dalam video yang dikongsi bapanya, Opal dilihat memeluk dan berbaring lama di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Opal rindu mama, lama dah tak peluk mama.”

Ungkapan polos Muhammad Naufal Iman Zulfikar, 9, bukan hanya membuatkan hati bapanya luluh malah meruntun jiwa warganet.

Dalam video yang dikongsi bapanya, Dzulfikar Ainul, 35, di TikTok, Muhammad Naufal Iman atau mesra dipanggil Opal dilihat memeluk dan berbaring lama di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, di sini.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Nurul Hafiza Kamarulzaman, meninggal dunia pada 1 Januari 2026 selepas 17 hari koma akibat tekanan darah tinggi sehingga berlaku pendarahan di bahagian otak.

Dzulfikar berkata, ketika kejadian dia sedang bergotong-royong di kawasan perkuburan sebelum menyedari Opal tiada di sisinya.

“Saya ternampak dia berbaring atas pusara mama. Saya panggil dan tanya kenapa adik baring di situ. Dia jawab, ‘Opal rindu mama, lama dah tak peluk mama’.

“Sebagai ayah, hati saya luluh. Dia masih kecil, tapi sudah faham erti kehilangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dzulfikar (kiri) menziarahi pusara arwah isterinya bersama dua anaknya.
Dzulfikar (kiri) menziarahi pusara arwah isterinya bersama dua anaknya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dzulfikar, sejak pemergian isterinya, Opal sering meluahkan rasa rindu dan hampir setiap hari mereka akan menziarahi kubur arwah.

“Kadang-kadang sehari sampai tiga kali kami datang. Dia akan duduk lama, bercerita dan mengadu pada mama. Seolah-olah mama masih mendengar,” ujarnya dalam nada sebak.

Katanya, kehilangan ibu pada usia muda memberi kesan mendalam kepada Opal dan kakaknya, namun dia bertekad untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa dan ibu demi memastikan anak-anak terus dibesarkan dengan kasih sayang secukupnya.

“Walaupun sibuk bekerja, saya pastikan mereka terurus. Sebelum ke sekolah, saya akan telefon untuk pastikan semuanya siap. Alhamdulillah, keluarga juga banyak membantu,” katanya.

Bagi mengubat rindu anak-anak, Dzulfikar akan terus membawa mereka menziarahi pusara dan berkongsi kisah tentang kebaikan serta pengorbanan arwah ibu mereka.

“Hargailah keluarga selagi mereka masih ada. Jangan tunggu hilang baru terasa,” pesannya.

Ringkasan AI

  • Anak rindu ibu yang meninggal, memeluk lama di pusara di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru
  • Ibu meninggal dunia akibat tekanan darah tinggi yang menyebabkan pendarahan otak
  • Bapa sering membawa anak menziarahi kubur hampir setiap hari
  • Kehilangan ibu pada usia muda meninggalkan kesan mendalam kepada anak
  • Dzulfikar, bapa, berusaha membesarkan anak dengan bantuan keluarga dan mengingatkan pentingnya menghargai keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!