Stoking kalimah ALLAH: 11 laporan polis diterima di Johor

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 11 laporan polis diterima di Johor berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dikesan dijual di kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) setakat ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan juga telah dilakukan di sebuah kilang di Seri Gading, Batu Pahat pada Selasa.

"Hasil serbuan tersebut, lima pasang stoking yang tertera kalimah ALLAH berjaya dirampas.

"Kenyataan rasmi juga telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Batu Pahat mengenai perkara ini.

"Selain, kita juga ada terima laporan bahawa ada pihak yang datang ke kilang untuk serahan memorandum dan pihak kilang difahamkan telah menerima memorandum tersebut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1988 dan Seksyen 505 b Kanun Keseksaan.

Siasatan selari juga dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman.

Dalam pada itu, Kumar turut meminta agar mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan agar tidak mengambil langkah yang menyalahi undang-undang termasuk melakukan flash mob, perhimpunan atau pun demonstrasi berkaitan isu ini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melakukan perkara menyalahi undang-undang," katanya.