Empangan Machap menyusut, Pontian catu bekalan air

Penduduk mendapatkan bekalan air di tangki statik di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian.
Penduduk mendapatkan bekalan air di tangki statik di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Cuaca panas dan kemarau berpanjangan sejak lebih sebulan lalu menjejaskan bekalan air kepada 13,900 akaun pengguna di daerah ini, dengan situasi itu disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh tujuh tahun.

Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal berkata, paras air Empangan Machap yang menyalurkan bekalan air bersih ke daerah ini turut dilaporkan menyusut.

Jelasnya, situasi itu menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Mukim Benut, Sungai Pinggan, Ayer baloi dan Api-api, sekaligus memaksa catuan bekalan air berjadual dilakukan.

"Kira-kira 13,900 akaun pengguna berdepan gangguan air sejak Jumaat lalu. Catuan air telah dibuat dan jadual dikeluarkan oleh Ranhill SAJ.

"Sudah tentu penduduk risau kerana air cukup penting. Difahamkan banyak aduan dikemukakan penduduk berkenaan gangguan bekalan air ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan isu bekalan air di Depoh Bekalan Air Pontian Besar di sini, pada petang Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Menurut Kamalludin, bagi memastikan penduduk mendapatkan bekalan air, Ranhill SAJ telah menggerakkan lori tangki, tangki statik dan tangki besar ke lokasi terjejas termasuk Parit Makassar, Parit Menangis, Pekan Benut dan Ayer Baloi Baloi.

"Seramai 60 anggota Ranhill SAJ, digerakkan bagi memastikan pengagihan bekalan air kepada penduduk berjalan lancar dan teratur.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri turut mengarahkan semua masjid kerajaan melaksanakan solat sunat Istisqa’ sebagai ikhtiar memohon hujan.

"Semoga paras air dapat kembali pulih dan krisis bekalan air di daerah Pontian dapat diselesaikan segera," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Cuaca panas dan kemarau berpanjangan sejak lebih sebulan lalu menjejaskan bekalan air kepada 13,900 akaun pengguna di Pontian
  • Paras air Empangan Machap yang menyalurkan bekalan air ke Pontian menyusut
  • Situasi ini menjejaskan kawasan di Mukim Benut, Sungai Pinggan, Ayer Baloi dan Api-api dan memaksa catuan bekalan air dilakukan
  • Ranhill SAJ menggerakkan lori tangki dan tangki besar untuk mengagihkan air ke lokasi terjejas
  • Kerajaan negeri mengarahkan solat sunat Istisqa' sebagai ikhtiar memohon hujan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!