Ajaran Ayah Pin dihidupkan kembali?

Tangkap layar hantaran dimuat naik di laman sosial Imam Muda Kulan mengenai wujud gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin di Besut.
Tangkap layar hantaran dimuat naik di laman sosial Imam Muda Kulan mengenai wujud gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin di Besut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ajaran sesat 'Kerajaan Langit' atau Ayah Pin didakwa kembali dihidupkan di daerah Besut dan dikatakan menimbulkan kebimbangan sekiranya tersebar dalam kalangan penduduk setempat.

Perkembangan mengenainya dikongsikan menerusi hantaran seorang pegawai masjid menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya Tengku Azlan Raja Mamat yang bertugas sebagai imam di Masjid Gong Pasir, Besut memberitahu wujud gerakan untuk mengembangkan kembali ajaran berkenaan.

"Ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh kerajaan Terengganu pada 1997, kini didapati ada gerakan untuk dikembangkan semula di daerah Besut," tulisnya.

Hantaran itu menimbulkan pelbagai reaksi dan terdapat komen menyatakan pengumuman mengenainya telah dibuat di peringkat masjid-masjid di daerah berkenaan.

"Dalam tindakan, hari ini diumumkan masjid-masjid pewartaan, yang lain menyusul," tulis Ustaz Riduan Mohd Nor di ruangan komen status yang dimuat naik.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74, atau Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.

Bagaimanapun, selepas kematian Ariffin timbul desas-desus bahawa ajaran yang menyeleweng daripada Islam itu masih lagi 'bernyawa'.

Sinar Harian sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berhubung perkara terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!