Tiada gerakan hidupkan ajaran Ayah Pin di Pahang

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Syed Ibrahim)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Syed Ibrahim)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memantau secara dekat bekas pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang tinggal di beberapa daerah di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, setakat ini, tiada sebarang gerakan menghidupkan semula ‘Kerajaan Langit’ dikesan menular di Pahang.

Syed Ibrahim bagaimanapun menegaskan, bekas pengikut kumpulan Ayah Pin itu hanya tinggal di Pekan dan Rompin tanpa melakukan gerakan berkaitan ajaran sesat sebagaimana ditularkan.

"Secara kebetulan (ada) bekas pengikut Ayah Pin duduk (tinggal) situ. Tapi tiada sebarang aktiviti di situ. Mereka beraktiviti di luar Pahang.

"JAIP sudah laksana pemantauan sejak dari dulu lagi. Pemantauan bukan dilakukan secara rapat, tetapi berterusan. Ini bagi mengekang aktiviti ajaran sesat,” tegasnya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung laporan mengatakan pengikut Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad kini mengukuhkan kawasan asal di Terengganu termasuk turut bertapak di Pahang.

Pada Ahad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati gerakan ajaran sesat Ayah Pin telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

Pengasas kumpulan ajaran sesat itu, Ayah Pin telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 April 2016.

Artikel Berkaitan:

Namun difahamkan ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh pihak tertentu di sekitar Besut menerusi satu hantaran pada akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum ini mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28