Tamatkan segera riwayat ajaran Ayah Pin

Perkampungan Ayah Pin di Hulu Besaut yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu. Foto hiasan
Perkampungan Ayah Pin di Hulu Besaut yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu. Foto hiasan
A
A
A

DAKWAAN ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula oleh gerakan pihak tertentu di sekitar Besut mengundang kebimbangan ramai pihak.

Apa tidaknya, ajaran yang turut dikenali 'Kerajaan Langit' itu pernah menggemparkan negara hampir dua dekad lalu.

Kisah mengenai ajaran yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997 itu kembali diperkatakan ketika ini.

Ia susulan tular sebuah hantaran di akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendedahkan ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula oleh gerakan pihak tertentu.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara pada 90-an itu dikesan cuba merekrut ahli baharu termasuk dari luar Terengganu.

Katanya, hasil risikan mendapati ajaran itu kini mula dikembangkan di luar kawasan asalnya yang bermula di Kampung Batu 13, Hulu Besut sehingga ke kawasan Jertih (Besut) dan juga di sebelah Pahang terutama di Pekan dan Rompin.

Bertindak atas perkembangan itu, polis Terengganu sedia menerima maklumat daripada orang awam mengenai dakwaan wujudnya gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran Ayah Pin yang difatwakan sesat pada 1997.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya memantau rapat berhubung dakwaan wujud gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu yang hangat diperkatakan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan agar hadir ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13, Ab Ghani Mamat mengesahkan tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan dalam tempoh terdekat.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.

Pemimpin ajaran sesat Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut kerana sakit tua pada April 2016.

Meskipun tidak diketahui kesahihan sebenar mengenai gerakan yang diasaskan Ariffin Muhamad itu, namun rata-rata pihak mahu supaya riwayat Ayah Pin segera ditamatkan.