Ayah Pin: Individu ada maklumat boleh hadir ke balai polis

Mazli
Mazli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu sedia menerima maklumat daripada orang awam mengenai dakwaan wujudnya gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran Ayah Pin yang difatwakan sesat pada 1997.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya memantau rapat berhubung dakwaan wujud gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu yang hangat diperkatakan ketika ini.

Menurutnya, pihak polis mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan agar hadir ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

"Kami mengambil maklum laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Mac bertajuk 'Ajaran Ayah Pin dihidupkan kembali?'

"Pihak polis memantau rapat perkembangan ini dan setakat ini, tiada sebarang aktiviti yang mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk di kawasan sekitar.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Mazli, buat masa ini polis tidak mengesan sebarang petunjuk atau usaha untuk menghidupkan semula ajaran berkenaan di perkampungan Ayah Pin di Kampung Batu 13, Besut.

Katanya, pemantauan berterusan dilakukan pihak keselamatan termasuk membabitkan ajaran sesat yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu. Oleh itu, orang ramai dinasihati agar tidak gusar dengan perkembangan ini," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat dakwaan wujud usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin di daerah Besut sehingga menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara pada 90-an itu dikesan cuba merekrut ahli baharu termasuk dari luar Terengganu.

Katanya, hasil risikan mendapati ajaran itu kini mula dikembangkan di luar kawasan asalnya yang bermula di Kampung Batu 13, Hulu Besut sehingga ke kawasan Jertih (Besut) dan juga di sebelah Pahang terutama di Pekan dan Rompin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28