Terengganu dijangka hadapi cuaca panas hingga Mei

Kesan cuaca El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ianya mempengaruhi corak cuaca termasuk di Terengganu - Gambar hiasan 123 RF
Kesan cuaca El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ianya mempengaruhi corak cuaca termasuk di Terengganu - Gambar hiasan 123 RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu dijangka bakal mengalami cuaca kering dan panas berterusan sehingga bulan Mei depan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, setakat ini suhu paling tinggi direkodkan di Terengganu ialah Stesen Pencerapan Automatik di Felda Tenang, Besut iaitu sebanyak 35.5 darjah Celsius pada 6 Mac lalu.

Menurutnya, ia diikuti di Ketengah Bukit Besi, Dungun iaitu 34.6 darjah Celcius pada hari yang sama.

"Rekod berkenaan bukan paling tinggi dalam sejarah namun jika dibandingkan purata suhu bulanan rekod yang dicatatkan tahun ini lebih tinggi daripada purata.

"Mengikut Pertubuhan Met Sedunia kesan cuaca El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ianya mempengaruhi corak cuaca termasuk di Terengganu.

"Cuaca kering dan panas berterusan itu dengan kemuncaknya dijangka pada bulan Mei ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas program di sebuah radio di stesen penyiaran di sini pada Khamis.

Justeru, Rosli berkata, orang ramai diingatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan dan elakkan diri daripada terkena cuaca panas.

Selain itu, katanya, orang ramai juga diminta tidak melakukan aktiviti yang boleh menyumbang kepadapembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar termasuk tanah gambut.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun El Nino tamat menjelang pertengahan tahun namun kita masih lagi boleh menjangkakan impak itu sehingga Mei dan Jun nanti.

"Jadi bagi mengelakan terdedah risiko mengalami kelesuan haba dan strok haba maka kita sarankan supaya kurangkan aktiviti yang terdedah terus dengan sinaran matahari serta lakukan aktiviti di kawasan tertutup terutama pada suhu tinggi sekitar waktu tengahari dan awal petang," jelasnya.

Dalam pada itu, Rosli menyatakan mengikut rekod dan maklum balas daripada orang awam dalam tempoh tiga tahun ini memaklumkan bahawa suhu lebih panas daripada kebiasaannya di negeri ini.

"Saintis juga berpandangan cuaca panas yang berlaku ketika ini diburukkan lagi dengan perubahan iklim yang berlaku.

"Jadi kerjasama semua pihak penting bagi memastikan perubahan iklim yang berlaku tidak diburukkan dengan sikap tidak bertanggungjawab masyarakat termasuk melakukan pembakaran terbuka," ulasnya.