Orang Kedah luar biasa boleh tahan cuaca panas

Cuaca panas menyebabkan penduduk di Kedah mengurangkan aktiviti luar rumah.
Cuaca panas menyebabkan penduduk di Kedah mengurangkan aktiviti luar rumah.
A
A
A

MERAK Jalanan ada terbaca amaran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengenai cuaca panas tahap berjaga-jaga di lapan kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Antara kawasan terlibat ialah Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling di Kedah; Hulu Perak di Perak serta negeri Perlis.

Mengikut penerangan MetMalaysia, suhu panas tahap berjaga-jaga dikategorikan apabila suhu maksimum harian sesuatu kawasan itu mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Apabila terkenang cuaca panas, Merak Jalanan teringat sewaktu berkunjung ke Kedah semasa cuti sekolah baru-baru ini.

Suhu di sana memang luar biasa panasnya. Bagi yang mampu sudah pasti tuan rumah akan memasang pendingin hawa.

Bagi yang susah, rumah biasanya beratapkan zink dan bahang panas itu memang menusuk ke seluruh anggota badan dan terasa seperti dilayur-layur di atas bara api.

Kadangkala apabila angin bertiup pula membawa bersama udara panas yang menambahkan perit keadaan.

Nak harapkan hujan memang jauh sekali. Ada juga rumah yang berada di tengah-tengah bendang yang boleh disaksikan betapa panasnya keadaan itu apabila tanah merekah dan pokok-pokok sekeliling layu belaka.

Artikel Berkaitan:

Namun, Merak Jalanan tabik dengan ketahanan orang kampung yang boleh hidup dengan suasana seperti itu.

Mereka cukup tenang menghadapi keadaan berkenaan seolah-olah itu bukanlah satu masalah yang besar.

Ketika ditanya kepada beberapa penduduk, antara ayat yang selalu diulang ialah jika panas pergilah mandi.

Paling kuat dalam ingatan Merak Jalanan salah satu jawapan mereka: "Panas di dunia ini sikit sahaja, di hari akhirat kelak tidak tertanggung rasanya."

Insaf sekejap dibuatnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28