Keputusan petisyen Nik Elin: Yadim gesa henti polemik

Yadim menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan segera polemik di media sosial.
Yadim menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan segera polemik di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa mana-mana pihak untuk menghentikan segera polemik di media sosial susulan keputusan mahkamah terhadap petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Yadim dalam satu kenyataan berkata, tindakan berkenaan perlu disegerakan kerana ia seolah-olah sengaja memberikan gambaran negatif bahawa Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah bebas pengaruh politik selaras dengan doktrin pengasingan kuasa badan pentadbiran, perundangan dan badan kehakiman yang diamalkan di negara ini.

“Yadim terlebih dahulu menyeru semua pihak dan segenap lapisan masyarakat khasnya dalam kalangan umat Islam agar bertenang dan berusaha memahami susur galur kes ini secara ilmiah.

“Ini kerana tanggapan-tanggapan negatif khasnya yang banyak dilontarkan secara bebas di media sosial tidak membawa apa-apa kebaikan selain menimbulkan kekeruhan massa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan yang memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Mengulas lanjut, Yadim menjelaskan bahawa pihaknya menyokong penuh usaha Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk menjalankan kajian segera ke atas alasan penghakiman kes itu bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

Katanya, Yadim turut menyokong tindakan Mohd Naim untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan YDPA, Sultan Nazrin Shah serta Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyembah maklum perkara itu sesuai dengan kedudukan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam.

Artikel Berkaitan:

“Yadim ingin menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai saluran sebaran maklumat benar kepada rakyat dalam isu itu agar agama Islam dapat diperkasakan,” ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!