Pelbagai reaksi keputusan petisyen Nik Elin

Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.
Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.
A
A
A

PADA Jumaat, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti itu dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan Tengku Yasmin mengemukakan petisyen mencabar Perlembagaan berhubung peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada 25 Mei 2022.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Artikel Berkaitan:

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Perkara itu mendapat pelbagai reaksi banyak pihak termasuk kerajaan negeri Kelantan yang kecewa selepas keputusan tidak memihak sepenuhnya kepada mereka.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Dr Mohamed Fadzil Hassan berkata, pihaknya akan memaklumkan dengan segera kepada Sultan Kelantan berhubung keputusan tersebut.

Kata beliau, jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan akan meneliti penghakiman penuh keputusan tersebut sebelum kajian dilakukan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, ia khususnya cabaran yang dikemukakan iaitu penafsiran punca kuasa di dalam membuat undang-undang jenayah di Malaysia.

Menurut beliau, pihak kerajaan melalui cabang legislatif digesa untuk melakukan tindakan segera di dalam membuat sebarang pindaan-pindaan yang wajar.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, semua pemegang taruh dan pihak terlibat dengan mahkamah syariah akan dipanggil segera bagi menilai langkah pemerkasaan institusi tersebut.

Ujarnya, jika terdapat keperluan melakukan sebarang pindaan atau reformasi undang-undang, ia akan segera dilakukan.

Sementara itu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa kerajaan agar segera melakukan pindaan yang sesuai pada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, langkah tersebut memastikan kedudukan undang-undang Islam sentiasa terjamin dan hak umat Islam yang dinaungi oleh undang-undang syariah sentiasa terpelihara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!