'Ahli Parlimen tak iktiraf Perlembagaan Persekutuan wajar letak jawatan'

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana ahli Parlimen yang tidak mengiktiraf perkara itu wajar letak jawatan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, perkara tersebut telah melanggar ikrar yang telah dilafazkan.

"Kita boleh berbeza pendapat tentang tafsiran Perlembagaan, malahan itu merupakan perkara biasa.

"Tetapi jika ada mana-mana wakil rakyat yang mempersoalkan kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi negara, ini tidak boleh diterima, mereka seharusnya luhurkan Perlembagaan," katanya dalam hantaran di aplikasi X pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap hantaran di aplikasi sama oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang mengatakan undang-undang syariah lebih awal dan lama diamalkan di rantau ini.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang dipertikaikan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan majoriti itu dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Artikel Berkaitan: