Keputusan Petisyen Nik Elin: Pas gesa segera pinda Perlembagaan

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pindaan Perlembagaan segera dilakukan untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan raja-raja.

Beliau berkata, gesaan tersebut dibuat susulan bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan semakin mencabar melaksanakan perintah ALLAH SWT.

Menurutnya, pembatalan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 itu mendedahkan ia merupakan kesan dramatis peninggalan penjajah dan secara tidak langsung mengubah landskap perundangan negara.

“Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sehingga terbentuknya sistem Mahkamah Syariah, namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran ALLAH SWT, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang undang-undang ciptaan manusia bersifat sekular,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, keputusan berkenaan turut menimbulkan rasa kecewa mendalam dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Katanya, undang-undang Islam telah digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujud Perlembagaan Persekutuan.

“Kaedah perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam Mahkamah Syariah jelas berbeza daripada syarat dalam Mahkamah Sivil.

“Bahkan, syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam memiliki sistem yang tersendiri maka, menyatakan bahawa Mahkamah Sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat.

“Ini kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam,” ujarnya.

Tegasnya, isu berkenaan tidak seharusnya menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya di kalangan umat Islam kerana ia merupakan perintah ALLAH yang jelas kepada seluruh umat Islam.

@sinarharianonline

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pindaan Perlembagaan segera dilakukan untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan raja-raja. Beliau berkata, gesaan tersebut dibuat susulan bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan semakin mencabar melaksanakan perintah ALLAH SWT. #SinarHarian #SinarTerkini #Pas #TuanIbrahim

original sound - Sinar Harian