Tidak perlu politikkan petisyen Nik Elin - Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Tidak perlu mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Sebaliknya Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam perlu memikirkan cara berkesan untuk memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini.

Berkongsi pandangan terhadap perkara itu, Wan Salim berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dalam pemerintahannya, sistem ini mengizinkan warganegara menzahirkan pendirian dan kehendak masing-masing melalui apa jua saluran yang aman dan tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan atas alasan bahawa Badan Perundangan Kelantan bertindak menggubal enakmen yang bercanggah dengan jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Semua pihak perlu menerima keputusan yang telah dibuat mahkamah, namun jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut bolehlah berusaha mencari jalan supaya peruntukan-peruntukan yang dibatalkan itu menjadi sah di sudut undang-undang.

"Kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan... Cubalah memohon bantuan mereka yang pakar dalam bidang undang-undang untuk menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan supaya DUN tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Nik Elin dan Tengku Yasmin mengemukakan petisyen mencabar Perlembagaan berhubung peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada 25 Mei 2022.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.