Polis Terengganu rampas dadah bernilai RM4.47 juta

Mazli (dua dari kiri) ketika Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terenggan
Mazli (dua dari kiri) ketika Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terenggan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.47 juta sepanjang 2023.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, ia melibatkan tangkapan menerusi Ops Camar dengan rampasan tujuh kilogram Pil Yaba yang berlaku di Besut pada November tahun lalu.

"Sepanjang tahun lalu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan tujuh siri Ops Camar bagi membanteras sindiket tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di sini pada Ahad.

Selain itu, Mazli berkata, sebanyak 3,496 tangkapan turut dibuat melibatkan penagih dan pengedar dadah di bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, jumlah tangkapan tahun lalu menunjukkan penurunan sebanyak 9.8 peratus berbanding tahun sebelumnya 3,880 orang.

"Seramai 35 pengedar dadah telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang tahun 2023," ujarnya.

Sementara itu, Mazli berkata, pihaknya telah menghadiahkan 15 kenderaan terpakai kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk diagihkan kepada tujuh sekolah yang menjalankan program kejuruteraan automotif di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Mazli memeriksa kenderaan yang dilucut hak
Mazli memeriksa kenderaan yang dilucut hak

Beliau berkata, kenderaan yang dianggarkan bernilai RM100,000 itu telah dilucuthak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu (JSJNT).

Tambahnya, kenderaan itu juga merupakan sebahagian daripada 62 kenderaan yang dirampas pada tahun lalu bernilai RM2.8 juta.

Mazli (kiri) memeriksa motosikal yang dilucut hak
Mazli (kiri) memeriksa motosikal yang dilucut hak

“Sebahagian besar kenderaan yang dirampas dan dilucuthak ini adalah milik penjenayah dan pengedar dadah.

“Kita telah lupuskan sebanyak 62 kenderaan pelbagai jenis. Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kenderaan telah diserahkan kepada JPNT untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dalam jurusan kejuruteraan automotif," jelasnya.

Mazli berkata, sebanyak 47 kenderaan pelbagai jenis iaitu 34 motosikal dan 13 kereta akan dilupuskan melalui lelongan awam pada 22 Januari depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!