Polis tahan penganggur, rampas pil kuda bernilai RM2.57 juta

Muhamad Zaki (dua, kanan) menunjukkan dadah yang ditemui dalam sebuah kereta di Bandar Baru Pasir Mas, Lubok Jong di Pasir Mas.
Muhamad Zaki (dua, kanan) menunjukkan dadah yang ditemui dalam sebuah kereta di Bandar Baru Pasir Mas, Lubok Jong di Pasir Mas.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan seorang penganggur dan merampas sebanyak 234,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM2.57 juta melalui Ops Tapis Khas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 26 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan kira-kira jam 11 malam untuk mengagihkan dadah berkenaan.

Menurut beliau, ketika serbuan lelaki itu sedang berdiri di luar pintu bahagian pemandu kereta Proton Perdana yang diparkir di hadapan sebuah bangunan di Bandar Baru Pasir Mas, Lubok Jong di Pasir Mas.

Muhamad Zaki (dua, kiri) menunjukkan guni yang digunakan untuk memuatkan pil kuda sebelum diletakkan dalam kereta.
Muhamad Zaki (dua, kiri) menunjukkan guni yang digunakan untuk memuatkan pil kuda sebelum diletakkan dalam kereta.

"Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan menemui empat bungkusan guni yang di dalamnya terdapat barang disyaki dadah dianggarkan seberat 23.35 kilogram (kg)," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau menjelaskan, siasatan awal dipercayai lelaki itu sudah mempunyai empat pembeli yang akan mengambil barang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, tetapi polis akan melakukan siasatan terperinci jika lelaki itu mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah sebelum ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis turut merampas kenderaan lelaki itu yang dianggarkan bernilai RM8,000.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, dalam operasi sama seramai 620 individu berusia di antara 16 hingga 60 tahun ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 26 warga asing iperiksa manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah RM2.78 juta.

"Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 250,286 penagih," katanya.