Imigresen gempur warga asing di Kuala Terengganu

Antara warga asing ditahan dalam Ops Kutip
Antara warga asing ditahan dalam Ops Kutip
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat sekumpulan warga asing hendak membeli barang keperluan tidak kesampaian apabila ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu sebaik sahaja tiba Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), dekat sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, sekumpulan warga asing itu tidak dapat melarikan diri susulan seluruh kawasan tersebut telah dikepung anggota penguatkuasa untuk menahan mereka bagi tujuan pemeriksaan.

Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, seramai 220 warga asing dari tujuh negara iaitu Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Kemboja dan Myanmar diperiksa dalam operasi berkenaan.

Beliau menyatakan daripada jumlah itu, seramai 30 warga asing termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 50-an ditahan dalam Ops Kutip di sekitar Hentian Bas MBKT.

Katanya, operasi bermula jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang itu disertai seramai 21 anggota dari Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu.

"Hasil risikan dan maklumat daripada orang ramai mendapati kebanyakan warga asing itu berkumpul di sekitar stesen bas ini. Ada yang datang sejauh 70 kilometer menaiki bas untuk membeli barangan keperluan di bandar ini.

Azhar Abd Hamid
Azhar Abd Hamid

"Ada nak beli daging, barangan elektrik seperti kipas dan televisyen malah ada yang baru sahaja turun dari bas telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 220 individu yang diperiksa, hanya 30 warga asing yang membuat kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Kutip di sekitar Hentian Bas MBKT dekat sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Bagaimanapun, Azhar berkata, sebahagian besar yang diperiksa itu merupakan pekerja asing yang mempunyai permit.

Antara warga asing yang ditahan selepas ingin melarikan diri.
Antara warga asing yang ditahan selepas ingin melarikan diri.

"Hasil operasi kita pada hari ini berjaya menahan 30 warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta Imigresen. Jadi kita akan teruskan lagi operasi sebagai satu peringatan kepada semua warga asing di negara ini supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

"Malah majikan juga perlu memastikan pekerja yang diambil mempunyai dokumen pengenalan sah," katanya sambil menambah telah menjalankan lebih 30 operasi di sekitar Terengganu pada tahun ini.

Beliau menambah kesemua yang tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Ajil untuk siasatan dan tindakan lanjut.