Kes bunuh Zayn Rayyan: Tangkapan bergantung pada analisis

Mohd Shuhaily (kiri), Zayn Rayyan
Mohd Shuhaily (kiri), Zayn Rayyan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mencari petunjuk baharu berdasarkan semua maklumat yang diterima berkaitan kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini sedang mengumpul semua maklumat yang diperoleh bagi mengukuhkan bukti-bukti sedia ada bagi membawa kepada tangkapan suspek dalam kes ini.

"Kesemua maklumat yang ada kita sedang kumpulkan akan dianalisis dan diteliti satu persatu termasuk juga maklumat baharu.

"Kita akan sedaya upaya mencari petunjuk, dan berkaitan suspek kes ini, ia akan bergantung kepada analisis yang kita jalankan untuk menentukan sama ada seseorang itu cukup segala bukti untuk ditahan," katanya.

Beliau berkaitan demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Katanya, pihak polis tidak akan berhenti untuk membuat siasatan dan berusaha sebaik mungkin sehingga kini.

"Kita berdoa supaya dapat menemui cahaya dan individu yang bertindak kejam ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

"Polis juga merakam penghargaan terhadap kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan berkaitan kes mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkaitan kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah melepasi 90 peratus keseluruhan siasatan termasuk dalam elemen forensik, patalogi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Jelas beliau, langkah itu dibuat susulan hasil siasatan forensik pada masa ini dikategorikan berkesudahan secara negatif.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lepas di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu.

Setakat ini, pihak polis merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.