Siasatan kes Zayn Rayyan lebih 90 peratus - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan polis berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah melepasi 90 peratus keseluruhan siasatan termasuk dalam elemen forensik, patalogi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah ini dibuat susulan hasil siasatan forensik pada masa ini dikategorikan berkesudahan secara negatif.

"Tumpuan kita menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) adalah meneliti dan mengkaji semula maklumat risikan yang ada selain mengumpul maklumat-maklumat yang baru," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Razarudin berkata, melalui maklumat risikan sedia ada dan hasil siasatan yang sudah dikumpul kita akan mengkaji sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

"Kita juga berkemungkinan akan melakukan tangkapan ke atas suspek yang kita rasakan bertepatan dengan lebih 50 peratus kebarangkalian berdasarkan keterangan," katanya.

Razarudin berkata, cabaran yang dihadapi dalam siasatan kes Zayn Rayyan adalah kerana pihak polis tidak mempunyai motif sebagai petunjuk utama dalam mana-mana siasatan kes jenayah.

"Sebagai contoh kalau siasatan kes pergaduhan kongsi gelap, kita akan tahu motif disebabkan perselisihan antara kumpulan, kalau kes pembunuhan wanita, kita akan tahu motifnya mungkin berkaitan cemburu dan kita akan ketahui hala tuju siasatan yang dijalankan namun dalam kes ini kita tidak tahu motif atau punca dia (Rayn Zayyan) dibunuh.

"Daripada motif ini jugalah baru kita tahu apa punca dan hala tuju siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga kini JSJ Bukit Aman dan Polis Kontinjen Selangor masih menumpukan dan mengumpul segala maklumat dan petunjuk baru dalam mengenal pasti motif selain menjejaki pelaku pembunuhan Zayn Rayyan ini.

"Saya tidak menolak kemungkinan kita akan memanggil ibu bapa, orang terdekat, saksi-saksi lain yang berada dalam lingkungan berkaitan kes pembunuhan ini dalam membantu siasatan sekaligus menyelesaikan kes ini.

"Malah, pihak polis masih mengalu-alukan segala maklumat dan petunjuk baru daripada saksi-saksi kejadian ini," katanya.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lepas di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu.

Setakat ini, pihak polis merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.