Senandung Terengganu hidupkan kembali seni warisan

Ahmad Ridzwan
Ahmad Ridzwan
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) menghidupkan kembali program Senandung Terengganu bagi memastikan kelestarian budaya dan warisan di negeri itu terus relevan dan dikekalkan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, melalui program itu, beberapa acara telah diadakan pada tahun ini termasuk menganjurkan pertandingan tarian gamelan cilik, jelajah gamelan dan Simposium Gamelan Antarabangsa.

"Program Senandung Terengganu ini dijadikan jenama untuk kembalikan semula kegemilangan melibatkan persembahan tarian dan nyanyian yang berkonsepkan seni budaya serta warisan Terengganu.

"Jadi program berkenaan bermula dengan mengadakan pertandingan tarian gamelan cilik melibatkan lima sekolah terpilih di negeri ini pada 18 November lepas.

"Kemudian disambung pula dengan jelajah gamelan yang diadakan di dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Dungun. Pengisian jelajah yang diadakan selama satu hari itu melibatkan penerangan dan perkenalkan asas tentang gamelan selain latihan muzik dan tarian.

"Alhamdulillah... sambutan diterima amat baik susulan lebih 200 pelajar telah sertai program tersebut. Ia juga merupakan antara usaha untuk naikkan semula seni gamelan di Terengganu menerusi pendedahan di peringkat awal kepada pelajar-pelajar ini," katanya.

Ahmad Ridzwan (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada seorang peserta di Simposium Gamelan Antarabangsa di UMT pada Sabtu.
Ahmad Ridzwan (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada seorang peserta di Simposium Gamelan Antarabangsa di UMT pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Simposium Gamelan Antarabangsa di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Ridzwan berkata, siri jelajah gamelan tersebut akan diteruskan ke sekolah terpilih di Kemaman dan Besut.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Senandung Terengganu diadakan bertujuan mencungkil dan mengasah bakat serta kemahiran pelajar dalam kesenian warisan terutama seni tarian dan muzik gamelan Melayu.

"Selain itu menggalakkan proses pengembangan dan pencungkilan bakat baharu dalam bidang seni budaya," ujarnya.

Simposium yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT telah diadakan selama tiga hari bermula Khamis lepas melibatkan lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar dan penggiat seni.