ADUN pembangkang berhak nikmati peruntukan program kerajaan negeri

Mohd Syahbuddin dan laporan Sinar Harian Rabu lalu
Mohd Syahbuddin dan laporan Sinar Harian Rabu lalu
A
A
A

KOTA BHARU - Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim menegaskan pihaknya turut berhak menikmati semua peruntukan program di bawah kendalian Kerajaan Kelantan jika mahu berlaku adil selain menghormati mandat rakyat.

Menurut beliau, peruntukan melibatkan program itu ialah skim takaful kifaalah warga emas, gerbang al-ziwaj untuk pasangan pengantin baharu, beras al-itaam, manfaat armalah dan banyak lagi perlu diagihkan sebagaimana yang diterima wakil rakyat kerajaan.

"Kami berharap peruntukan yang akan diberikan tidak dipilih-pilih tetapi sama rata dengan wakil rakyat yang lain.

"Kalau boleh tidak mahu jadi sepertimana sebelum ini, semasa berbaik...diberinya. Apabila tidak baik, peruntukan yang sepatutnya tidak disalurkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.

Mohd Syahbuddin berkata, beliau dan wakil rakyat DUN Kota Lama menyambut baik pengumuman dibuat Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Rabu lepas untuk memberi peruntukan yang sama kepada ADUN di Kelantan termasuk pihak pembangkang.

Ujarnya, diharap apa yang diumumkan itu bukan omongan kosong dan akan dilaksanakan sepanjang sidang DUN ke-15 ini serta berterima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan negeri.

"Peruntukan ini bukan untuk kami, tetapi rakyat dan akan digunakan sebaiknya demi kesejahteraan mereka," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan memberikan peruntukan yang sama kepada ADUN termasuk pihak pembangkang.

Menteri Besarnya berkata, akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang.

"Hal ini kerana mereka dipilih oleh rakyat jadi peruntukan sama walau aliran politik berbeza," katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kelantan yang pertama pada Penggal ke-15 di Kota Darulnaim pada Rabu.