Exco kerajaan negeri Perak masih selamat

Secara keseluruhannya hampir kesemua Exco kerajaan negeri Perak menjalankan tugas dengan baik melalui penyusunan pelbagai program yang dirangka dan dilaksanakan. -Foto Bernama (Gambar kecil: Saifullah Ahmad)
Secara keseluruhannya hampir kesemua Exco kerajaan negeri Perak menjalankan tugas dengan baik melalui penyusunan pelbagai program yang dirangka dan dilaksanakan. -Foto Bernama (Gambar kecil: Saifullah Ahmad)
A
A
A

Di sebalik rombakan Kabinet yang dinanti ramai pihak susulan bayangan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan Exco kerajaan negeri Perak boleh menarik nafas lega apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa minggu lalu mengumumkan tiada sebarang rombakan Exco mahupun portfolio bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu.

Gabungan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk pada 20 November 2022 itu sudah pun melepasi setahun usia pentadbirannya dianggotai wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jika dipecahkan mengikut parti, Exco daripada DAP paling ramai terdiri daripada Loh Sze Yee yang memegang portfolio Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor diikuti A Sivanesan dipertanggungjawab bagi Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional; Teh Kok Lim (Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau) dan Woo Kah Leong (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina).

Exco daripada UMNO pula kedua ramai terdiri daripada Datuk Mohd Zolkafly Harun yang bertanggungjawab berkaitan Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan; Datuk Salbiah Mohamed (Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Khairudin Abu Hanipah (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan).

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) seramai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Sandrea Ng Shy Ching yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Mohd Azlan Helmi bertanggungjawab berkaitan Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Satu-satunya Exco daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula diamanahkan mengurus portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam.

Secara keseluruhannya berdasarkan pemerhatian selama setahun, hampir semua Exco kerajaan negeri Perak menjalankan tugas dengan baik melalui penyusunan pelbagai program yang dirangka dan dilaksanakan. Jika jumlah program menjadi indeks petunjuk prestasi (KPI) exco kerajaan negeri, Salbiah antara yang boleh dipuji kerana sejak Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 118 program di bawah portfolio pembangunan usahawan dilaksanakan dan ia tidak termasuk program-program melibatkan portfolio lain.

Namun program-program yang dirangka dan dilaksanakan itu tidak boleh menjadi ukuran utama KPI exco-exco kerajaan negeri tetapi keberkesanan pelaksanaannya perlu juga menjadi ukuran.

Artikel Berkaitan:

Apabila ditanya mengapa tiada rombakan dibuat, alasan yang diberikan Saarani adalah sepanjang tempoh setahun pentadbirannya, tiada sebarang masalah diberikan oleh Exco-exco kerajaan negeri berkenaan walaupun kali pertama mereka bergabung sebagai kerajaan.

Walaupun PH mempunyai kerusi majoriti sebanyak 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerajaan negeri, Saarani tidak berdepan masalah untuk memberikan arahan kepada exco-exco kerajaan negeri biarpun BN hanya menguasai sembilan DUN.Malah kesemua exco kerajaan negeri sepakat untuk meneruskan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dirangka pada tahun 2021 yang mana ketika itu PH menjadi pembangkang.

Ini didorong pendekatan Saarani yang mengutamakan keharmonian dalam kalangan jentera pentadbiran kerajaan negeri melalui tindakan mahupun keputusan yang diambil termasuklah tidak mengganggu portfolio atau menukar exco.

Dalam kenyataan kepada media pada Selasa, Pengerusi BN itu, menjelaskan beliau tidak mahu mewujudkan masalah baharu sekiranya rombakan dibuat.

Kesalingbergantungan antara PH dan BN juga membuatkan mereka saling menghormati antara satu sama lain berbanding pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak