‘Reformasi perundangan syariah perlu dibuat, bukan dipolitikkan’ - Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi menyeluruh berkaitan undang-undang syariah perlu dilakukan bagi memperbaiki institusi tersebut daripada terus dijadikan bahan politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia susulan pelbagai pihak mula mencabar perundangan syariah di negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan, tindakan secara kolektif perlu dilakukan supaya tiada kelompongan dalam undang-undang tersebut.

“Perkara seperti ini sepatutnya menyemarakkan lagi azam untuk memperbaiki institusi sedia ada daripada semua aspek dan bukan menjadikannya bahan politik.

"Reformasi menyeluruh perundangan syariah perlu digerakkan. Ini bukan soal 'syariah dicabar' untuk dipolitikkan, tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuhkan peruntukan undang-undang supaya tiada lagi kelompongan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan telah mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel bersidang mendengar petisyen difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, terdapat pihak tertentu menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik dan tiada bantahan yang dibuat, termasuk daripada wakil Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jika perkara itu terus dipolitikkan, ia akan membawa umat Islam kepada kancah pertikaian undang-undang syariah sedia ada.

"Anehnya, barulah kedengaran Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini pada Rabu lalu.

"Beliau (Tuan Ibrahim) menganggap sebagai suatu yang serius untuk mencabar Mahkamah Syariah dan akan mengadakan siri perhimpunan untuk menyahut seruan gerakan 'selamatkan syariah'.

"Saya khuatir isu seperti Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah (RUU355) yang pernah dipolitikkan suatu ketika dahulu akan berulang di mana umat Islam di negara ini diheret kepada satu kancah pertikaian yang asalnya adalah soal perundangan dan kuasa-kuasa peruntukkan," katanya.

Rabu lalu, Tuan Ibrahim berkata, PN akan menganjurkan siri perhimpunan pada 16, 18 dan 20 November ini bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menurutnya, perhimpunan tersebut akan diadakan masing-masing di Terengganu, Kelantan dan perhimpunan munajat di Istana Kehakiman, Putrajaya.