Kes Nik Elin: Jaheik diarah jadi pencelah

Ahmad - Foto Bernama
Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan memandang serius tindakan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) untuk bertindak sebagai pencelah dalam prosiding kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kes itu melibatkan cabaran terhadap kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal Undang-Undang Jenayah Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Negeri pada Khamis lepas telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, sebagai pihak yang berkepentingan dalam menjaga pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negeri Kelantan khususnya berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019, untuk bertindak sebagai pencelah dalam kes ini.

"Ini memandangkan kes berkenaan akan memberikan kesan yang sangat besar terhadap kepentingan Islam, Undang-Undang Syariah dan Kerajaan Negeri Kelantan secara keseluruhan," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau merujuk kes seorang peguam kelahiran Kelantan iaitu Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan dan kes itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan.

Mereka mendakwa peruntukan terbabit adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama dan kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala Dewan Undangan Negeri hanya diberi hak menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Ahmad juga berkata, Kelantan menggesa semua umat Islam termasuk tokoh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar memainkan peranan masing-masing dengan sewajarnya.

Beliau berkata, langkah itu dapat membela dan mempertahan Undang-Undang Syariah khususnya di Kelantan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa agama Islam negeri, badan berkanun dan NGO berkaitan agama Islam untuk terlibat dalam kes itu sama ada sebagai pencelah, peguam pemerhati atau sahabat mahkamah.

"Usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah merupakan tanggungjawab bersama semua pihak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. - Bernama