Kerajaan Kelantan jihad pertahan Enakmen Syariah

Mohd Asri (tengah) menunjukkan risalah mengajak orang ramai menyertai Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Mohd Asri (tengah) menunjukkan risalah mengajak orang ramai menyertai Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan kekal mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang kini dicabar di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, penting untuk keseluruhan rakyat terutama di Kelantan faham akan kepentingan enakmen tersebut bagi umat Islam.

Menurut beliau, rakyat perlu bersama-sama kerajaan dalam usaha memastikan enakmen berkenaan kekal terpelihara.

“Rakyat perlu terlibat dan memberikan sokongan padu untuk mempertahankan enakmen ini yang sedang dalam perjalanan kes di mahkamah.

“Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mulia memutuskan menggubalkan enakmen tersebut dan sudah diwartakan, bermaksud perkara (dicabar) ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.

Mohd Asri berkata, beliau juga mahu rakyat mengetahui jihad dalam mempertahankan enakmen tersebut sama penting dengan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis Israel.

Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri juga mengajak rakyat untuk memenuhi stadium pada himpunan munajat yang akan diadakan pada 18 November ini.

Artikel Berkaitan:

“Majlis akan diisi dengan perarakan solidariti, solat jemaah Maghrib dan hajat serta ceramah-ceramah kepentingan untuk mempertahankan enakmen tersebut.

“Kami sasarkan 100,000 akan hadir memberi respon positif untuk mempertahankan enakmen tersebut dan turut menyasarkan kutipan derma RM1 juta kepada saudara di Palestin,” kata beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Sementara dalam cabaran terhadap peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh dua peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan, tahun lalu.

Mereka mahu mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen tersebut.