Selepas Hamzah, 16 lagi pemimpin dipecat Bersatu

Bersatu memecat keahlian Hamzah dan 11 lagi pemimpin parti itu kerana melanggar Perlembagaan Bersatu.
Bersatu memecat keahlian Hamzah dan 11 lagi pemimpin parti itu kerana melanggar Perlembagaan Bersatu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu notis makluman bertarikh 13 Februari 2026.

Berdasarkan senarai penuh yang dikongsikan, selain Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, tiga Ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dipecat.

Tiga Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Dua ADUN yang dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Antara yang dipecat (dari kiri) Azahari, Fathul Huzir dan Yunus.
Antara yang dipecat (dari kiri) Azahari, Fathul Huzir dan Yunus.

Sementara itu, sembilan Ketua Bahagian Bersatu turut dipecat setakat ini iaitu Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassuandi Hamzah; Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ahmad Meon (Tangga Batu) serta Ketua Bahagian Bersatu Tapah, Mohd Yunus Mohd Yusop.

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norshahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Artikel Berkaitan:

Dalam notis itu, dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah melaksanakan tugas-tugasnya di bawah Tatacara Pengurusan Kes Disiplin Bersatu pada 12 Februari 2026 dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan peruntukan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

“Mana-mana ahli Bersatu yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman adalah berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini,” menurut notis itu.

Terdahulu, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang dipecat keahliannya berkuat kuasa pada Jumaat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.

Hamzah pada Khamis dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia.

Beliau berkata, Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu.

Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.

Hamzah turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.

Bersatu sebelum ini juga sudah mengambil tindakan pemecatan kepada ramai pemimpinnya yang terbabit dalam gerakan sama.

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 16 lagi pemimpin Bersatu dipecat kerana melanggar Perlembagaan Bersatu
  • Pemecatan berkuasa serta-merta setelah Lembaga Disiplin bersidang
  • Melibatkan pemimpin dari peringkat Ahli Parlimen hingga Ketua Bahagian
  • Keputusan pemecatan meliputi penghapusan semua hak keahlian parti
  • Bekas ahli diberi peluang rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!