'Dia cakap sudah 'matikan' isteri…' – Jiran

KOTA TINGGI - "Saya terkejut apabila suami mangsa datang ke rumah pada awal pagi beritahu sudah 'matikan' isterinya."
Demikian kata Atikah Sulaiman, 44, yang merupakan jiran dan pemilik rumah sewa kepada wanita hamil tujuh bulan yang maut dihentak objek tumpul dipercayai lesung batu oleh suaminya di rumah sewa mereka di Kampung Makam pada awal pagi Jumaat.
"Dia (suami mangsa) datang ke rumah pada kira-kira 7 pagi untuk minta tolong simpan barang. Dia datang bersama anak perempuannya berusia empat tahun.
"Kemudiannya suami saya tanya di mana isteri awak? Dia cakap sudah 'matikan' isterinya. Terus suami saya gerak ke rumah sewanya dan nampak isterinya terbaring berlumuran darah," katanya.
Atikah berkata, suami mangsa kelihatan tenang dan tidak melarikan diri malah meminta mereka membuat laporan polis.
"Saya tidak dengar apa-apa bunyi bising pada sebelah malam dan awal pagi. Begitu juga jiran-jiran lain.
"Sudah empat tahun mereka menyewa di sini dan tiada masalah dengan jiran-jiran. Saya difahamkan suaminya sebelum ini bekerja sebagai tukang gunting rambut," katanya.
Dalam pada itu, Atikah turut memberitahu pasangan suami isteri itu baru pulang ke rumah sewa mereka pada dua bulan lalu dari Kuala Lumpur.
"Kali terakhir saya jumpa mangsa pada awal bulan ini. Dia datang untuk bayar sewa rumah. Memang mereka tidak pernah culas bayar sewa rumah.
"Mangsa juga ada beritahu sekarang kerap ulang alik ke klinik untuk pemeriksaan kehamilannya," ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan forensik polis sedang giat sedang melakukan pemeriksaan.
Rumah sewa yang terletak di tingkat dua itu turut diletakkan dengan pita kuning garisan polis, selain terdapat kesan percikan darah di tingkap.
Ringkasan AI
- Suami mangsa mengaku kepada jiran telah membunuh isterinya yang hamil tujuh bulan dengan objek tumpul
- Kejadian pembunuhan berlaku di rumah sewa mereka di Kampung Makam pada awal pagi Jumaat
- Suami mangsa, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, kelihatan tenang dan tidak melarikan diri selepas kejadian
- Pasangan tersebut telah menyewa rumah di lokasi tersebut selama empat tahun tanpa masalah dengan jiran
- Pasukan forensik polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian yang diletakkan pita kuning garisan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

