Karya Anak Pahang: 'Istimewa Ramadan Aokmer' gamit memori perantau

KUANTAN – Kerinduan anak jati Pahang di perantauan terhadap suasana unik Ramadan di kampung halaman kini boleh dizahirkan menerusi edisi khas pertandingan Karya Anak Pahang (KAP) 2026.
Menerusi tema ‘Istimewa Ramadan Aokmer’, inisiatif Kerajaan Negeri Pahang itu mengajak rakyat negeri ini berkongsi nostalgia dan pengalaman Ramadan dalam bentuk penulisan, video atau gambar berserta kapsyen sepanjang Februari.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, penganjuran tahun ini tampil berbeza apabila memperkenalkan dua edisi serentak iaitu bagi peserta dalam negeri dan Edisi Perantau Anak Pahang.
“Bagi yang berada dalam negeri, sama ada bekerja atau belajar di sini, kita kekalkan tema ‘Istimewa Ramadan Aokmer’.
“Namun kali ini kita tambah satu edisi khas untuk perantau dengan memberi fokus kepada emosi rindu dan nostalgia mereka terhadap Ramadan di Pahang.
"Sebelum ini perantau boleh sahaja menyertai pertandingan, tetapi bagi Februari ini kita khususkan satu kategori untuk mereka melalui Edisi Perantau Anak Pahang yang bertemakan 'Rindunya, Ramadan di Pahang' ” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut Khairul Anwar, idea mewujudkan edisi khas perantau itu tercetus daripada pengalaman beliau sendiri yang pernah bekerja di luar Pahang sebelum kembali berkhidmat di negeri ini.
“Ketika merantau, setiap kali ke bazar Ramadan pasti teringat Pahang. Kita cari juadah tertentu, ada dijual tetapi rasanya tidak sama.
“Contohnya martabak, mungkin ada tetapi tidak seperti yang biasa kita nikmati di sini. Dari situ timbul rasa rindu terhadap suasana dan kemeriahan Ramadan di kampung halaman,” jelasnya.
Memori bersama
Beliau berkata, peserta bebas berkongsi pengalaman berbuka puasa bersama keluarga, suasana tarawih di masjid atau surau kampung serta tradisi setempat yang berbeza antara daerah.
“Setiap tempat ada ceritanya tersendiri. Ada yang rindu suasana berbuka beramai-ramai di padang, kemeriahan bazar Ramadan atau kenangan zaman kanak-kanak.
“Kita mahu cerita-cerita ini dihimpunkan supaya menjadi memori bersama dan pada masa sama menyemarakkan semangat kecintaan terhadap negeri Pahang,” katanya.
Menang RM200 setiap hari
Mengulas mengenai penganjuran KAP secara keseluruhan, beliau berkata, pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM200 setiap hari itu kini memasuki tahun ketiga dengan peningkatan penyertaan yang memberangsangkan.

“Tahun pertama kita menerima 583 penyertaan dan meningkat kepada 1,284 pada tahun kedua. Ini menunjukkan minat masyarakat terhadap platform ini semakin baik,” ujarnya.

Tambahnya, pemenang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, suri rumah, guru, pensyarah dan pengamal media yang menyertai pertandingan melalui Facebook, TikTok dan Instagram.
“Objektif kita adalah menggalakkan masyarakat menggunakan media sosial untuk berkongsi perkara positif mengenai negeri sendiri melalui medium kreatif.
"Malah ada peserta yang berjaya memenangi hadiah sehingga tiga kali dalam tempoh sebulan,” katanya.
Penyertaan bagi kedua-dua edisi dibuka sehingga 28 Februari ini dengan peserta kategori perantau perlu menggunakan tanda pagar #PerantauAnakPahang serta mematuhi syarat yang ditetapkan penganjur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

