Kerajaan perlu gubal undang-undang khas tangani buli

Data SSDM oleh KPM merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober 2023. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Azliana)
Data SSDM oleh KPM merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober 2023. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Azliana)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta menggubal satu undang-undang khas untuk menangani kes buli melibatkan pelajar sekolah.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, ia diperlukan untuk menambah baik undang-undang sedia ada walaupun sudah mempunyai Kanun Keseksaan dan panduan seperti Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, serta pekeliling yang berkaitan di negara ini.

Menurutnya yang juga Ketua Gerakan Penggubalan Akta Anti Buli, kejadian tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan negatif terhadap mangsa secara fizikal, psikologi dan emosi.

“Semua pihak harus sedar bahawa buli adalah satu jenayah yang boleh merosakkan mangsa buli sehingga meragut nyawa.

“Oleh itu, ia tidak lagi seharusnya dilihat hanya masalah disiplin, tetapi jenayah berat yang semakin berleluasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau mengulas isu buli tular di media sosial baru-baru ini melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak yang dalam siasatan pihak polis.

Peguam itu memaklumkan, data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober 2023.

Tambahnya, gejala berkenaan bukan perkara baharu dalam kalangan murid, namun sudah berada di tahap merisaukan sehingga menyebabkan kesemua mangsa buli mengalami kecederaan teruk, kecacatan fizikal, trauma dan kematian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Azliana berpandangan, kerjasama semua pihak iaitu pentadbir sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), KPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta masyarakat diperlukan untuk menghapuskan budaya buli di sekolah.

"Murid-murid perlu diberikan pendidikan dan kesedaran mengenai jenayah buli, ia penting bagi memahami bahawa buli adalah perbuatan jenayah, bukan hanya masalah disiplin.

"Hukuman berbentuk pengajaran perlu dilaksanakan agar dapat memberi mesej jelas kepada pembuli dan juga murid lain bahawa perbuatan ini tiada toleransi.

"Apalah erti ilmu yang tinggi tapi tanpa akhlak terpuji dalam kalangan generasi muda. Justeru, usaha memupuk akhlak tinggi haruslah bermula daripada awal, khususnya di peringkat sekolah," ujarnya.