PIBG MCKK selar tindakan tular kejadian buli

Kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook PIBG MCKK pada Ahad berhubung kejadian buli yang tular.
Kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook PIBG MCKK pada Ahad berhubung kejadian buli yang tular.
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Ibu Bapa da Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli di sekolah berkenaan kerana dianggap memberi imej buruk kepada MCKK.

Dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook PIBG sekolah berkenaan, pihak PIBG MCKK sudah mengambil maklum mengenai kes disiplin tersebut bahawa ia selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah.

Menurutnya, pihak PIBG mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil oleh pihak sekolah perlu dihormati atas dasar pertimbangan sewajarnya demi kebaikan semua pihak kerana semua tatacara dan prosedur dipatuhi dalam mengambil keputusan tanpa sebarang campur tangan mana- mana pihak.

"PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa tersebut di dalam pengurusan sekolah ini. Dalam hal yang berkaitan, PIBG MCKK menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman yang diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan 4.

"PIBG MCKK juga telah menerima laporan mengenai murid-murid MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan di sekitar Kuala Kangsar dan dicop sebagai pembuli. PIBG MCKK memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Berhubungan situasi berkenaan, PIBG mencadangkan agar pelajar MCKK tidak dibenarkan keluar bersendirian ke pekan Kuala Kangsar bagi satu tempoh yang bersesuaian sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.

Selain itu pelajar tidak akan membalas sebarang serangan atau provokasi yang diterima daripada pihak luar dan akan membuat laporan kepada pihak sekolah sekiranya berlaku gangguan serangan atau provokasi oleh pihak luar sepanjang berada di pekan Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak MCKK akan membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada pelajar MCKK selain pihak kaunseling MCKK terus memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku di kalangan murid-murid MCKK

"Pihak PIBG MCKK kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini. PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah dan meyakini serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK.

"Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan Tuan Pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua murid-murid MCKK di masa hadapan," katanya.

Sebelum ini, tular di laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Bagaimanapun pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan memaklumkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini.

Laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat.

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ditubuhkan pada tahun 1905 menjadi sekolah menengah berasrama yang pertama untuk pelajar-pelajar Melayu di negara ini.

Pengasas sekolah ini terdiri daripada Yamtuan Muhamad (1888-1933), Sultan Ahmad Al-Nuazanshah (1836-1914), Sultan Idris Murrshidul Nizan Shah (1849-1916) dan Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1866-1938).

Sekolah berusia 118 tahun ini pada asalnya dinamakan Sekolah Asrama Melayu sebelum diberi nama Kolej Melayu Kuala Kangsar oleh Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris sewaktu baginda merasmikan bangunan konkrit sekolah terunggul ini pada 11 Disember 1909.

Pada peringkat awal, kemasukan ke MCKK dikhaskan kepada anak-anak raja Melayu dan anak orang-orang bangsawan dari empat negeri iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketika Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1955, beliau telah mendemokrasikan pengambilan susulan kebangkitan semangat nasionalisme. Sehingga kini hanya pelajar lelaki terpilih berusia 12 hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia mendapat pendidikan di sekolah berkenaan.

Pada tahun pertama persekolahan, seramai 59 orang pelajar telah mendaftarkan diri. Antara pelajarnya yang pertama termasuklah Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman manakala Pengetua pertama dilantik mentadbir MCKK ialah William Hargreaves pada tahun 1905.

Antara alumni MCKK termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan ramai lagi.