Henti gejala buli di sekolah

A
A
A

Wujud kemungkinan pembuli dipengaruhi aksi-aksi gangsterisme di persekitaran mereka atau terdedah dengan media massa yang negatif.
Wujud kemungkinan pembuli dipengaruhi aksi-aksi gangsterisme di persekitaran mereka atau terdedah dengan media massa yang negatif.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memperkasakan konsep Karamah Insaniah bagi menangani kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini.

Pemerkasaan konsep yang dicetuskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu merupakan manifestasi KPM untuk memastikan sistem pendidikan negara yang harmoni sekali gus melahirkan modal insan yang cemerlang.

Menurut KPM menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada Sinar Harian, kes buli merupakan isu sejagat yang mana ia memerlukan penglibatan semua pihak sama meliputi ibu bapa serta masyarakat dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab kepada pihak sekolah semata-mata.

“Bagaimanapun, KPM berusaha menangani isu buli ini menerusi pelaksanaan konsep Karamah Insaniah menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif amat memerlukan suatu pendekatan holistik dan perlu ditekankan agar diberikan perhatian dalam sistem pendidikan negara,” kata KPM dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut mengenai isu buli di peringkat sekolah, KPM telah pun mengeluarkan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli di Sekolah sebagai panduan kepada pihak sekolah.

Malah, pihak KPM juga sentiasa mengkaji peraturan-peraturan pendidikan mengikut keperluan sekolah serta mencari pendekatan baharu bagi menambah baik sistem atau peraturan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Program antibuli

Pada masa sama, KPM turut memperkukuhkan usaha menangani isu buli dengan melaksanakan program Kempen Anti Buli bagi memastikan persekitaran serta suasana yang selamat di sekolah di bawah Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.

Pada masa sama, KPM turut melaksanakan program-program berfokus seperti Amalan Guru Penyayang, Program Mentor-Mentee, Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) dan Bengkel Literasi kepada Pengetua Guru Besar (PGB) serta Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kempen Anti Buli Peringkat Sekolah dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan jenis-jenis buli agar semua warga sekolah tahu hak masing-masing untuk bebas daripada sebarang jenis bentuk buli di sekolah dan luar sekolah.

Banyak lagi sebenarnya aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh guru-guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah seluruh negara dalam memastikan murid-murid diberikan pendedahan yang cukup kepada masalah disiplin.

Malah, KPM turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan program Jom Kembali Ke Sekolah sejak tahun 2017. Melalui program itu, para pegawai kanan PDRM akan turun ke sekolah-sekolah.

Malah, program 1st Day At School turut dilaksanakan setiap tahun bagi melibatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) turun ke semua sekolah KPM pada hari pertama persekolahan.

Serius

KPM amat prihatin dan memandang serius mengenai isu buli melibatkan murid sekolah. Bagaimanapun, tanggungjawab untuk menangani isu tersebut tidak harus diletakkan pada bahu kementerian dan pihak sekolah semata-mata.

Sebaliknya, KPM menyarankan supaya semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani isu buli dengan bersama-sama memikirkan punca serta kaedah-kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan perkara itu.

“Persoalannya, adakah kita sebagai ahli masyarakat pernah bertanya kepada diri kita sendiri, bagaimana anak-anak remaja ini tahu dan terlalu mudah untuk membuli atau bersifat agresif terhadap mangsa?

“Ada kemungkinan juga pembuli-pembuli ini dipengaruhi oleh aksi-aksi gangsterisme yang berlaku di persekitaran mereka atau terdedah dengan media massa yang negatif. Mungkin juga ada kes pembuli yang membuli kerana mereka adalah mangsa-mangsa buli terlebih dahulu,” jelas KPM.

Menurut KPM lagi, kemungkinan tersebut menyebabkan pembuli akan melakukan perkara yang sama kepada orang lain dalam pelbagai situasi antaranya seperti melalui peras ugut (minta duit, menyembunyikan barang mangsa, menjadi orang suruhan), memulau (tidak dimasukkan dalam kumpulan, tidak suka murid yang ikut peraturan), fizikal (pukul, tendang, cubit), lisan (ejek, mencarut) dan isyarat bukan lisan (jelir lidah, jegil mata, isyarat lucah).

“Terkini, timbul pula perkataan buli siber yang semakin popular kerana berlaku pembulian di alam siber yang banyak memberi kesan kepada mangsa terutamanya anak-anak muda di negara kita.

“Bagi menyelesaikan polemik (punca buli) yang kian membelenggu ini, kita perlu melihat kepada tindakan yang boleh dilakukan oleh setiap pihak,” ujar kenyataan itu.

Selaras dengan penglibatan semua pihak, KPM telah menyediakan pelbagai saluran untuk menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan kes buli antaranya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), panggilan telefon, surat, e-mel atau pun hadir sendiri ke kaunter-kaunter perkhidmatan yang disediakan JPN, PPD atau di KPM sendiri.

Selain itu, KPM turut melancarkan platform portal khas aduan buli. Malah, portal itu turut menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan langkah-langkah menangani isu buli di sekolah.

“Masyarakat haruslah menggunakan saluran yang tepat dan betul terutama untuk melaporkan kes buli yang melibatkan murid sekolah daripada terus menyebarkan kes buli melalui media massa atau laman sosial tanpa ada tindakan yang sewajarnya mengikut tatacara operasi (SOP) yang ditetapkan,” tegas KPM.

Pada masa sama, KPM turut memperkukuhkan peranan serta obligasi Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di sekolah dalam memberikan khidmat nasihat kepada para murid di samping meningkatkan nilai diri masing-masing.

Selain itu, UBK turut melaksanakan Kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) bagi melatih murid-murid terpilih menguasai asas kemahiran menolong. Mereka juga akan menjadi suri teladan kepada rakan-rakan lain dan perantara antara murid dan guru kaunseling.

No Image Caption

Jenis-jenis Perlakuan Buli:

-Peras ugut (minta duit, sembunyikan barang, menjadi orang suruhan).

-Fizikal (pukul, tendang, cubit).

-Lisan (mengejek, mencarut, dan lain-lain).

-Bukan lisan (jelir lidah, jegil mata, isyarat lucah).

-Memulau (tidak dimasukkan dalam kumpulan, tidak suka murid ikut peraturan).

Bidang Kuasa Sekolah

-Ordinan pelajaran 1957 peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah 1959):

Peraturan 4:

-Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid sekolah.

Peraturan 8:

-Kuasa guru besar menggantung persekolahan atau membuang murid dari sekolah pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuaskan hati guru besar sesebuah sekolah sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman di mana-mana sekolah yang seseorang murid patut digantung persekolahannya ataupun dibuang sekolah.

SPI BIL. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid.

Hukuman Disiplin:

-Amaran.

-Kelas tahanan.

-Rotan (tidak lebih daripada tiga (3) kali rotan, mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Ketua Pendaftar; kecuali kepada murid perempuan.

-Digantung sekolah.

-Dibuang sekolah.

Saluran Aduan Buli:

Sistem aduan SISPAA.

-Talian terus 03-8884 9325.

-Talian mudah alih & aplikasi Whatsapp di 014-8009325.

- Emel di adubuli@moe.gov.my