Hidap penyakit jantung bukan halangan raih Anugerah Diraja UniSZA

Nur Aufa (tengah) bersama ibu bapanya selepas majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
Nur Aufa (tengah) bersama ibu bapanya selepas majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Penyakit jantung yang dihadapi Nur Aufa Johan, 24 bukan suatu penghalang bagi dirinya untuk berjaya menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena majlis konvokesyen di universiti berkenaan pada Ahad.

Sebaliknya Nur Aufa menganggap kesakitan yang dialami selama ini dijadikan suatu motivasi untuk beliau tetap meraih kecemerlangan sekali gus berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan.

Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi di UniSZA itu kini bekerja sebagai Pegawai Strategik di bahagian Komunikasi Korporat Petronas.

"Saya diserang penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 15 tahun. Jadi saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak begitu memuaskan.

"Namun saya kembali bangkit dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran ketika melanjutkan pengajian di universiti. Meskipun ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana memahami kesulitan yang saya hadapi.

"Tetapi saya tetap berazam untuk berusaha lebih gigih dan ingin menghadiahkan kejayaan untuk mereka suatu hari nanti. Ini terbukti pada hari ini saya dapat membahagiakan kedua ibu bapa saya dengan anugerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen di UniSZA di sini pada Ahad.

Nur Aufa terpilih menerima anugerah berkenaan selepas mencatat nilai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.91 yang melayakkannya menerima hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM7,500.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan hadiah tersebut kepada Nur Aufa.

Menurut anak kelima dari enam beradik itu, walaupun menyedari tekanan dan kesulitan yang bakal dihadapi namun beliau tetap merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana pada suatu hari nanti.

"Insya-ALLAH... menerusi sokongan kuat daripada ibu bapa dan ahli keluarga, saya akan tetap meneruskan cita-cita untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Tiada yang mustahil dengan keazaman bersungguh-sungguh meskipun kita hadapi pelbagai cabaran," ulasnya.