LBS dan MGB raih anugerah The Edge Malaysia ESG 2023

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) dan MGB Berhad (MGB) melakar kejayaan apabila meraih dua anugerah The Edge Malaysia ESG Award 2023 bagi kategori Ekuiti.

LBS telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Perak bagi ‘The Most Improved Performance Over Three Years,’ dengan peningkatan nilai permodalan pasaran dari RM300 juta ke RM800 juta. Bagi kategori Pembinaan pula, MGB telah berjaya merangkul anugerah Perak.

Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim Kim Kiat dan Ketua Kelestarian Kumpulan, Shany Lim Chew Yee, pada majlis Anugerah The Edge Malaysia ESG 2023 yang berlangsung d sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Anugerah The Edge Malaysia ESG merupakan kolaborasi di antara Bursa Malaysia dan FTSE Russell. Kategori Ekuiti ini telah dinilai menggunakan kaedah penilaian ESG FTSE Russell yang selari dengan metodologi yang digunakan untuk mewujudkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, salah satu tatacara piawaian industri yang diguna pakai untuk amalan ESG di Malaysia.

No Image Caption

Kriteria pemilihan pemenang telah diperhalusi dengan teliti oleh juruaudit rasmi dari Deloitte, sebuah firma audit terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman luas di dalam menilai risiko korporat dan kedaulatan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Joey Lim Hock Guan berkata, pengiktirafan itu merupakan bukti pihak syarikat mengendalikan operasi perniagaan dengan rasa penuh tanggungjawab.

“Kami telah berusaha keras untuk mencapai kecemerlangan dalam pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan amalan tadbir urus yang baik. Oleh itu, pengiktirafan ini merupakan validasi yang tepat pada masanya, terutamanya terhadap usaha berterusan kedua-dua buah syarikat untuk mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam teras operasinya.

“Di masa hadapan, kami percaya bahawa pembangunan mampan bukan sekadar pilihan sebaliknya ia merupakan sebuah tanggungjawab dan komitmen utama kepada kesejahteraan bumi dan penghuninya,”katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim (kanan) dan Ketua Kelestarian Kumpulan LBS, Shany Lim (kiri) bergambar dengan anugerah yang dimenangi pada Majlis Anugerah ‘The Edge ESG 2023’ di Hilton Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim (kanan) dan Ketua Kelestarian Kumpulan LBS, Shany Lim (kiri) bergambar dengan anugerah yang dimenangi pada Majlis Anugerah ‘The Edge ESG 2023’ di Hilton Kuala Lumpur.

Menurutnya, LBS dan MGB sepakat mengumumkan komitmen syarikat untuk meningkatkan piawaian ESG dalam operasi perniagaan.

“Pada Mei 2023 lepas, kedua-dua syarikat ini menyatakan sokongan mereka terhadap Panduan Permohonan Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD).

“Sebagai sebahagian daripada rancangan kemampanan yang komprehensif, kedua-dua syarikat telah memperincikan pelan hala tuju dengan tumpuan ke arah mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050,”katanya.

Hock Guan berkata, pendekatan ini merangkumi langkah jangka panjang dan pendek, dengan fokus utama terhadap mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam strategi perniagaan dan operasi syarikat.

“Ini akan melibatkan langkah yang lebih proaktif seperti usaha nyahkarbon yang lebih berkesan sekali gus melibatkan penetapan harga karbon dalaman, penggunaan amalan perolehan dan rantaian bekalan yang mampan di samping pengenalan program pajakan hijau yang berinovatif untuk para pelanggan kami,”katanya.